Mendepani cabaran pilihan raya dalam norma baharu

Figura politik berkempen dalam media sosial mampu mempengaruhi pengundi pada Pilihan Raya Umum. (Imej Pakistan Today)
- Advertisement -

MASYARAKAT global kini sudah sinonim dengan penggunaan media sosial sebagai sumber maklumat politik berbanding dengan penggunaan media konvensional.

Liputan berita dan isu yang dibincangkan melalui media sosial sangat mempengaruhi corak pemikiran masyarakat serta mempengaruhi pola pengundian.

- Advertisement -

Dalam konteks penyebaran maklumat, media tradisional seperti media elektronik (televisyen dan radio) serta media cetak merupakan wadah penyebaran maklumat dan komunikasi yang amat penting pada tahun 1960-an sehinggalah munculnya jaringan internet dan media-media baharu bersifat maya digital di abad baharu serta menggugat persada media tradisional.

Kempen Presiden Barack Obama pada tahun 2008 telah berjaya membuktikan bahawa media sosial merupakan bahagian penting dalam sejarah Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat ketika itu.

Begitu juga kempen yang memenangkan Donald Trump dan Joe Biden. Kemenangan Justin Trudeau dalam Pilihan Raya Persekutuan di Kanada juga disebabkan oleh penguasaan 90 peratus media sosial terutama Twitter.

Bagaimanapun Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan masih menggunakan sepenuhnya media konvensional dalam memenangi hati rakyat dalam pemilihan pertama Presiden Turki pada tahun 2014.

Ini adalah disebabkan majoriti penduduk Turki masih bergantung sepenuhnya kepada media konvensional sebagai sumber maklumat.

“Kali ini peperangan media sosial adalah lebih dahsyat berbanding sebelum PRU14. Hampir kesemua parti-parti politik serta figura-figura politik telah menggunakan media sosial secara meluas untuk membina keyakinan para pengundi yang akan menentukan nasib mereka pada PRU ke-15 nanti.”

Haji Bakri Jamaluddin

Begitu juga dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Malaysia ke-14, kita dapat saksikan bahawa kemenangan Pakatan Harapan (PH) adalah kerana keupayaan mereka menguasai media sosial jauh lebih awal sebelum Parlimen dibubarkan dan PRU diumumkan.

Bloger-bloger dan akhbar digital seperti Malaysiakini, Sarawak Report, Free Malaysia Today dan banyak lagi memainkan peranan dalam mempengaruhi pola fikir rakyat dan pola pengundian.

Ada sumber mengatakan peranan media sosial dalam menyebarkan maklumat dan membentuk persepsi pengundi adalah sekitar 70 peratus sementara 30 peratus lagi adalah media konvensional seperti televisyen dan akhbar cetak.

Haji Bakri Jamaluddin.

Telefon pintar merupakan alat utama kepada penyaluran maklumat untuk rakyat Malaysia. Ianya menguasai sekitar 98.7 peratus berbanding komputer riba yang hanya digunakan sekitar 37.9 peratus dan komputer peribadi sebanyak 16.2 peratus sahaja.

Sesuai dengan tahap penguasaan teknologi digital rakyat Malaysia, dijangkakan menjelang PRU ke-15, media sosial akan menguasai 90 peratus sumber penyaluran maklumat dan menjadi medium kempen utama berbanding televisyen dan media cetak.

Ditambah lagi dengan masalah pandemik Covid-19 yang melanda negara, kesulitan untuk melakukan kempen secara fizikal maka media sosial akan mengambil tempat paling tinggi dan terlaris sebagai medium kempen masa depan.

Perlu diingat bahawa majoriti pengundi terdiri dari mereka yang tidak berparti atau ‘pengundi senyap’.

Mereka mampu dan boleh merubah senario politik seperti yang dibuktikan dalam PRU ke-14 yang lalu. Hal ini tidak boleh dipandang ringan oleh semua parti-parti dan tokoh-tokoh politik.

Media sosial akan menjadi alat penghubung yang sangat penting antara ahli-ahli politik dan pengundi terutamanya pengundi yang tidak berparti atau atas pagar.

Tingkah laku pengundi akan sangat dipengaruhi oleh sumber media yang mereka perolehi.

Kajian menunjukkan bahawa di Malaysia, laman sosial Facebook merupakan sumber jaringan sosial yang paling banyak digunakan di Malaysia iaitu sekitar 91.7 peratus, diikuti oleh Youtube sebanyak 80.6 peratus dan Instagram sekitar 63.1 peratus.

Facebook menjadi rangkaian digital yang mempunyai sentimen politik paling tinggi dalam kalangan pengguna. Ianya begitu popular dalam kalangan ahli politik dan pendukung parti disebabkan Facebook dapat dijadikan platform perdebatan umum.

Selain itu makluman dan mesej dapat disalurkan melalui status, ruang komen, audio dan visual yang semuanya terdapat di dalam Facebook.

Walaupun begitu, lain-lain platform terutamanya Twitter tidak boleh dipandang sepi. Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau meraih undi besar melalui kempennya di Twitter berjaya menarik serta meyakinkan anak muda terhadap perubahan dan reformasi politik yang harus dilakukan di Kanada.

Dalam konteks Malaysia, selain Facebook, Twitter juga merupakan platform komunikasi penting terutama kepada golongan muda yang akan mengundi buat kali pertama di PRU ke-15 nanti.

Sementara itu WhatsApp pula menduduki tangga teratas dengan 98.7 peratus penguasaan sebagai aplikasi komunikasi utama dan diikuti oleh Facebook Messenger sebanyak 40.1 peratus dan Telegram 40.1 peratus.

Kemunculan Bips dan Tik-tok juga harus diberikan perhatian kerana ianya akan menjadi wadah komunikasi anak muda generasi baharu bagi rakyat Malaysia.

Seiring dengan kemajuan teknologi terkini, media sosial mula mengambil alih peranan media tradisional yang bertindak sebagai penyampai maklumat utama dalam kalangan rakyat Malaysia amnya.

Ianya akan menjadi gelanggang pertempuran teknologi dan mental bagi meraih kemenangan satu-satu parti.

Kali ini peperangan media sosial adalah lebih dahsyat berbanding sebelum PRU14. Hampir kesemua parti-parti politik serta figura-figura politik telah menggunakan media sosial secara meluas untuk membina keyakinan para pengundi yang akan menentukan nasib mereka pada PRU ke-15 nanti.

Jaringan yang luas serta keupayaan untuk mudah diakses oleh para pengundi merupakan suatu yang sangat fundamental.

Media sosial juga turut menjadi sumber primer bagi sesetengah parti-parti politik untuk menyebarkan propaganda dalam mempengaruhi pengundi.

Hari ini kita dapati propaganda, saling mencerca juga adu domba seolah-olah sudah menjadi makanan harian kepada tentera upahan siber dan mereka-mereka yang taksub kepada parti dan figura politik secara berlebihan.

Budaya ini sangatlah tidak baik dan bertentangan dengan norma budaya Timur dan Islam.

Ianya bukan sahaja melahirkan budaya negatif terhadap generasi baharu rakyat Malaysia tetapi juga membuka ruang besar kepada kebencian sesama sendiri dan melebarkan jurang permuafakatan serta perpaduan kaum terutama kalangan pendukung-pendukung parti politik.

Media sosial seharusnya menjadi medium untuk membina budaya politik matang dan sejahtera.

Mendidik rakyat agar peka kepada peri pentingnya politik bersih, berintegriti dan bebas daripada rasuah , kronisme dan nepotisme.

Menjadikan rakyat lebih berilmu dengan informasi yang betul dan tepat supaya dapat melahirkan masyarakat yang berfikir secara rasional dalam membuat keputusan dan menentukan hala tuju dan kepimpinan politik negara.

Segala maklumat dan informasi yang beredar hendaklah ditapis dan ditabayun agar pengguna media sosial tidak menjadi bahagian daripada rantaian penyebar fitnah dan adu domba.

Pengguna media sosial harus sepantas boleh menilai dengan kewarasan akal dan iman di hati agar dapat mengenal tentera-tentera ‘troll‘ upahan yang bermain secara tersembunyi di alam maya bagi menciptakan persepi dan naratif buruk berupa fitnah demi meraih kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.

Elakkan daripada mengambil dan menyebarkan maklumat dari sumber-sumber yang meragukan seperti akaun palsu dan yang bersifat propaganda, fitnah bertujuan menimbulkan keraguan kebencian dan ketegangan di kalangan masyarakat umum.

HAJI BAKRI JAMALUDDIN
Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka dan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu – HARAKAHDAILY 3/2/2021

- Advertisement -