Kelantan laksana pakej bantuan khas berkala

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melaksanakan Pakej Bantuan Khas Berkala bagi kesejahteraan rakyat yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, bantuan keperluan asas makanan disedia membabitkan peruntukan sebanyak RM1.8 juta.

Katanya, bantuan itu diagih kepada 45 Pusat Khidmat Dun (PKD) di mana setiap PKD menerima peruntukan sebanyak RM40,000.

- Advertisement -

“Selain itu insentif tunai peniaga kecil dan penjaja kecil yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1.125 juta.

“Atau RM25,000 kepada peniaga kecil dan penjaja kecil yang layak bagi setiap PKD,” katanya pada satu kenyataan di sini hari ini.

Pada tahun lepas kerajaan Kelantan menyediakan peruntukan sebanyak RM29 juta bagi membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Selain bantuan ‘one-off’, kerajaan negeri turut mengecualikan bayaran sewa di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun selama dua bulan.

Bayaran sewa berkenaan akan ditanggung oleh kerajaan negeri.

Ahmad juga berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau rapi perkembangan dan kesan penularan wabak Covid-19 di seluruh Kelantan.

“Sehingga saat ini Kelantan belum bebas daripada jangkitan wabak Covid-19 dan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Kerja Keselamatan Khas Negeri mengambil pelbagai langkah secara bersepadu untuk membendung penularan wabak Covid-19,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/2/2021

- Advertisement -