Menangis di negeri musuh Allah

- Advertisement -

Soalan:

Saya masih ingat dalam satu ceramah tentang kematian lama dahulu ustaz ada menyebut sunat menangis jika lalu dekat kubur musuh-musuh Allah seperti kubur firaun dan seumpamanya kerana ada hadis yang menyebut demikian. Mohon ustaz sertakan hadis berkaitan jika ada.

Jawapan:

Sungguhnya para ulamak telah menyebutkan siapa yang pergi ke tempat atau negeri musuh-musuh Allah yang telah dibinasakan dengan azab atau kubur mereka atau orang yang pergi berjalan melihat tinggalan-tinggalan istana dan kota mereka mereka disunatkan dia menangis kerana telah sabit dalam hadis-hadis yang sahih Nabi SAW memerintahkan yang demikian itu.

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. beliau telah berkata:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- لأَصْحَابِ الْحِجْرِ: «لاَ تَدْخُلُوا عَلَى هَؤُلاَءِ الْمُعَذَّبِينَ، إِلاَّ أَنْ تَكُونُوا بَاكِينَ أَنْ يُصِيبَكُمْ مِثْلُ مَا أَصَابَهُمْ

Ertinya: “Telah bersabda oleh Rasulullah SAW tentang Ashabul Hijir: Jangan kamu sekalian pergi ke tempat mereka itu yang sekalian mereka itu diazab melainkan bahawa kamu sekalian menangis kerana takut menimpa akan kamu sekelian seumpama azab yang telah menimpa mereka itu.” (Hadis riwayat Bukhari)

- Advertisement -

Dan diriwayatkan daripada Salim bin Abdullah dari bapanya r.a.:

أنَّ النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم لَمَّا مَرَّ بالحِجْرِ قَالَ لاَ تَدْخُلُوا مَساكِنَ الَّذِينَ ظلَمُوا إلاَّ أنْ تَكُونُوا باكِينَ أنْ يُصِيبَكُمْ مَا أصَابَهُمْ

Ertinya: “Sungguhnya Nabi SAW ketika baginda melalui dengan negeri kaum Al-Hijir baginda telah bersabda: Jangan kamu sekalian masuk ke negeri-negeri orang yang zalim mereka itu melainkan dalam keadaan kamu sekalian menangis kerana takut bahawa menimpa akan kamu sekalian azab yang telah menimpa mereka itu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Yang dimaksudkan ashabul Hijir itu ialah kaum Tsamud dan negeri Al-Hijir ini ialah negeri kaum Tsamud dan kedudukannya antara Madinah Al-Munawwarah dan Syam.

Adalah kaum Hijir ini mendustakan oleh mereka akan rasul yang diutuskan kepada mereka.

Firman Allah Taala:

ولَقَدْ كَذَّبَ أصْحَابُ الحِجْرِ المُرْسَلِين

Ertinya: “Dan sungguhnya Ashabul Hijir telah mendustakan rasul-rasul.” (Al-Hijr: 80)

Dan adalah peristiwa ini berlaku ketika Rasulullah SAW bersama tentera Islam melalui negeri Al-Hijir pada tahun berlakunya perang Tabuk.

Dan tidaklah tertentu disuruh menangis ini ketika pergi negeri kaum Tsamud sahaja bahkan sekalian tempat atau negeri kaum yang seumpama mereka itu seperti Sodum iaitu negeri kaum Lut di Jordan dan tinggalan kerajaan Firaun di Mesir dan seumpamanya.

Berkata Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar:

هذا يتناول مساكن ثمود وغيرهم ممن هو كصفتهم

Ertinya: “Perintah menangis dan mengambil iktibar ini mencakupi tempat tinggal kaum Tsamud dan juga selain mereka itu dari orang-orang yang sifatnya seperti mereka.” (Fathul Baari)

Hukum menangis ketika pergi ke negeri atau tempat kediaman atau tanah perkuburan musuh-musuh Allah ini ialah sunat dan hikmahnya supaya bertafakur memikirkan nasib orang-orang yang kufur dengan Allah dan mendustakan Rasul-Nya kerana menangis itu membawa kepada berfikir oieh hati dan mengambil iktibar.

Berkata Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar:

ووجه هذه الخشية أن البكاء يبعثه على التفكر والاعتبار، فكأنه امرهم بالتفكر في أحوال توجب البكاء من تقدير الله تعالى على أولئك بالكفر مع تمكينه لهم في الأرض وأمهالهم مدة طويلة، ثم إيقاع نقمة بهم وشدة عذابه

Ertinya: “Dan gambaran rasa takut dalam hadis ini bahawasanya menangis itu membangkitkan seseorang atas berfikir dan mengambil iktibar maka seolah-olah Rasulullah menyuruh mereka itu dengan tafakur pada segala hal yang mewajibkan menangis daripada takdir Allah Taala ke atas kaum tersebut dengan kekufuran mereka itu pada hal Allah memberikan mereka negeri dan tempat tinggal di bumi dan harta benda dalam masa yang panjang kemudian ditimpa kemusnahan ke atas mereka dan bersangatan azab.” (Fathul Baari Syarah Sahih Al-Bukhari)

Berkata Imam ibnu Rajab Al-Hanbali:

هذا الحديث: نص في المنع من الدخول على مواضع العذاب، إلا على أكمل حالات الخشوع والاعتبار، وهو البكاء من خشية الله وخوف عقابه الذي نزل بمن كان في تلك البقعة، وان الدخول على غير هذا الوجه يخشى منه إصابة العذاب الذي أصابهم

Ertinya: “Hadis ini adalah nas pada melarang dari pergi ke tempat-tempat azab melainkan dalam keadaan sempurna khusyuk dan mengambil pengajaran. Dan iaitu menangis kerana takutkan Allah dan azab-Nya yang telah turun azab itu atas orang-orang di tempat itu dan sungguhnya pergi dengan tidak menangis dan tidak ada rasa takut kepada azab Allah dibimbangi mengenainya azab yang telah menimpa mereka itu.” (Syarah Sahih Al-Bukhari)

Kesimpulannya disunatkan orang yang lalu atau pergi ke tempat atau negeri kaum yang telah diazab oleh Allah bahawa lalu ia atau masuk ia dalam keadaan menangis dan takut dan mengambil iktibar dengan perbuatan kaum tersebut yang telah kufur kepada Allah.

Dan adalah kebanyakkan ulamak memakruhkan sengaja berjalan makan angin atau melancong mengunjungi negeri-negeri kaum yang telah diazab oleh Allah ini melainkan kerana keperluan.

Dan jika ada keperluan lalu pada negeri tersebut hendaklah dalam keadaan menangis dan takut dengan azab Allah dan bukannya bergembira bersuka ria seperti yang banyak dikerjakan oleh orang awam.

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 2/2/2021

- Advertisement -