Ekonomi mampan pacu peluang kerja berteknologi, berkualiti

- Advertisement -

PEMUDA Perikatan Nasional mengikuti dengan teliti setiap langkah dan usaha pemulihan ekonomi yang diambil oleh kerajaan untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Selain itu, pelbagai dasar dan kebijakan yang proaktif juga dilaksanakan oleh kerajaan untuk memperkukuh keyakinan pelabur untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka.

Pengumuman Malaysian Investment Development Authority (MIDA) pada 29 Januari 2021 telah memperlihatkan dampak positif daripada langkah-langkah yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini. Pemuda Perikatan Nasional optimis dengan daya saing negara sebagai destinasi pelaburan apabila Malaysia berjaya mencatatkan lebihan dagangan yang terbesar bernilai RM184.8 bilion pada tahun 2020. Ini menunjukkan bahawa negara telah mencatatkan peningkatan lebihan dagangan sebanyak 26.9 peratus berbanding jumlah pada tahun 2019 dan ianya merupakan jumlah lebihan dagangan terbesar sejak tahun 1998.

- Advertisement -

Pemuda Perikatan Nasional juga ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan yang telah berjaya menggembleng nilai pelaburan asing sebanyak RM109.8 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2020. Meskipun kesan pandemik COVID-19 telah mengakibatkan pelaburan asing menjunam di peringkat global dan Rantau ASEAN, namun Malaysia kini akan menuntaskan perbincangan untuk meluluskan 240 projek pelaburan asing berprofil tinggi yang pastinya akan mencipta nilai serta membuka peluang pekerjaan yang berteknologi dan inovasi untuk pekerja mahir. Selain itu, aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub kesihatan serantau juga akan memberi nilai tambah kepada aktiviti ekonomi negara.

Pemuda Perikatan Nasional yakin penubuhan Project Acceleration and Coordination Unit (PACU) dan i-lncentive yang akan mula berlangsung bakal menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi bagi mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan mempromosi pemindahan teknologi. Pada masa yang sama, Pemuda Perikatan Nasional turut menyambut baik pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yakni perjanjian perdagangan bebas (FTA) terbesar pada November tahun lalu. Ini bermakna, Malaysia kini berada dalam pasaran bebas yang lebih luas bersama-sama 15 negara anggota merangkumi 2.2 bilion atau hampir sepertiga (29.7 peratus) penduduk dunia dan menyumbang sebanyakAS$24.8 bilion (RM102.187 bilion) atau 28.9 peratus KDNK dunia.

Melihat kepada perkembangan ini, Pemuda Perikatan Nasional percaya usaha-usaha pemulihan ekonomi negara akan berhasil secara komprehensif sekali gus menjana ekonomi negara yang mampan demi menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

YB SENATOR IR. TS. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 1/2/2021

- Advertisement -