Covid-19: TDM Berhad saring 1,376 pekerja asing

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: TDM Berhad melakukan saringan ke atas 1,376 pekerja asing bagi mengelakkan munculnya kluster tempat kerja.

Pengarah Eksekutifnya, Najman Kamaruddin berkata, ia penting bagi menjaga keselamatan tenaga kerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Terengganu itu di samping melindungi kelangsungan operasi perniagaan.

Menurutnya, TDM Berhad peka dengan perkembangan semasa Covid-19, justeru bahagian Perladangan TDM Berhad dengan kerjasama Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTSH) baru-baru ini menjalankan saringan Covid-19 bagi para pekerja asing dari semua ladang kelapa sawit syarikat di negeri itu.

- Advertisement -

Memetik laporan portal Terengganu Darul Iman News (TRDI News) Sabtu, beliau berkata ujian sarıngan yang dijalankan melalui kaedah Rapid Test Kit (RTK) Antigen dan Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) tersebut memakan masa 10 hari.

“Ia melibatkan sejumlah 1,376 pekerja asing dari 13 ladang kelapa sawit syarikat di Sungai Tong, Bukit Besi dan Kemaman,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Jelasnya lagi, langkah tersebut adalah salah satu komitmen berterusan TDM bagi memastikan kesihatan dan keselamatan semua pekerja, dan mengelakkan risiko penyebaran Covid-19 di tempat kerja.

Beliau menambah, sejak awal pandemik Covid-19, TDM telah berganding bahu bersama bahagian penjagaan kesihatannya, KMI Healthcare dalam melaksanakan prosedur yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti pengimbasan suhu, penyediaan cecair sanitasi tangan dan pembersihan menyeluruh ruangan kerja.

Katanya, amalan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka juga ditekankan terutama dalam bangunan tempat kerja di mana pekerja banyak berinteraksi bagi menjalankan tugasan harian.

Semalam, KKM melaporkan terdapat 16 kluster baharu melibatkan 13 kluster tempat kerja dan tiga kluster komuniti di mana sebanyak 222 kes baharu dilaporkan dalam kesemua kluster-kluster itu.

Sementara itu, Terengganu mencatatkan sebanyak 85 kes baharu. – HARAKAHDAILY 31/1/2021

- Advertisement -