Industri perkayuan bantu pertumbuhan ekonomi negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kebenaran sektor perhutanan dan perkayuan serta rantaian melibatkan pembalakan bersama lain-lain beroperasi seperti biasa berkuat kuasa hari ini memberi kelegaan kepada industri perkayuan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali.

Katanya, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil maklum dan amat menghargai keputusan kerajaan membenarkan sektor perhutanan dan perkayuan serta rantaian melibatkan pembalakan bersama lain-lain beroperasi seperti biasa berkuat kuasa hari ini seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media kelmarin.

- Advertisement -

Katanya, kebenaran ini akan memberi kelegaan kepada industri perkayuan terutamanya sektor perabot di seluruh negara.

“Ia turut memberi manfaat kepada mangsa-mangsa banjir bagi memperoleh bekalan perabot mereka yang musnah akibat bencana berkenaan baru-baru ini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai makluman, jelasnya sektor perabot dianggarkan menggunakan 85 peratus bahan mentah tempatan untuk menghasilkan perabot.

Selain itu, tambahnya kebenaran itu juga membolehkan sektor perkayuan untuk terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Memandangkan sektor perhutanan dan pembalakan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, KPPK ingin merakamkan ucapan penghargaan di atas kerjasama untuk memproses kebenaran beroperasi sektor tersebut,” ujarnya lagi.

Ini, katanya akan memastikan bekalan bahan mentah yang mencukupi kepada sektor perkayuan di peringkat pemprosesan serta penghasilan produk primer dan hiliran.

Bagaimanapun, tambahnya perlu diingatkan bahawa semua pihak terbabit mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan ketat sebagaimana yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelakkan kebenaran itu ditarik balik.

Selain itu, ujarnya pihak industri perlu memastikan segala peraturan dan undang-undang Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) dipenuhi.

“Ia melibatkan penyediaan kemudahan kediaman bagi pekerja supaya dapat menyokong usaha Kerajaan mengurangkan penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Tambahnya, harapan KPPK ialah sektor perkayuan dapat terus menyumbang kepada ekonomi negara walaupun dalam situasi yang sukar ketika ini demi kemakmuran pembangunan negara.

Katanya, perdagangan sektor perkayuan bagi tempoh Januari hingga November 2020 masih menunjukkan prestasi yang baik dengan nilai eksport berjumlah RM19.8 bilion meskipun berhadapan dengan pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 30/1/2021

- Advertisement -