Dari Taun (wabak) Amwas ke COVID-19

Wabak akhir zaman

- Advertisement -

BAHAGIAN 1: Konsep bala

(1) Bala bukan semestinya tuhan murka. Bala bermaksud ujian.
(2) Bala kerosakan adalah angkara tangan-tangan manusia sendiri.
(3) Bala angkara orang fasiq turut mengenai orang bertakwa.
(4)Bala boleh dielak sekiranya golongan Musleh berperanan.

Rujuk buku Di Bawah Naungan al-Kahfi jilid 1 untuk lebih penjelasan.

- Advertisement -

Bahagian 2: Mengenai SOP Makkah dan masjid

(1) Amru bin al-As pernah memerintahkan umat Islam agar mengasingkan diri (lockdown) ketika wabak Amwas mengganas. Saidina Umar mengakuinya.
(2) Imam Malik, Imam Syafie, Imam al-Aini berpendapat boleh untuk tidak ke masjid sekiranya takut ancaman terhadap diri dan mudarat kepada pihak lain. 8 tahun terakhir hidup Imam Malik tidak mengunjungi masjid.
(3) Al-Hafiz Ibn Hajar menceritakan ketika wabak melanda Makkah tahun 827H, hanya tiga orang solat di Masjidil Haram. 
(4) Ibn Azari al-Marekshi mencatatkan ketika wabak melanda Tunisia tahun 395H, masjid-masjid di Qairawan kosong.
(5) Imam az-Zahabi mencatatkan ketika wabak melanda Andalus tahun 448H, masjid di Sevilla dan Cordoba ditutup dari sebarang aktiviti.
(6) Ibn Hajar turut mencatatkan, ketika wabak melanda Damsyik tahun 764H, ramai orang turun ke padang termasuk pembesar untuk berdoa. Ekoran daripada itu, kes wabak meningkat dengan mendadak!
(7) Beliau turut mencatatkan, ketika wabak melanda Kaherah di zamannya, orang ramai turut melakukan perkara seperti di Damsyik. Daripada kurang 40 kematian sehari, tidak sampai sebulan kes meningkat kepada lebih 1,000 kematian sehari!
(8) Tahun 833H, beliau memberitakan seorang pemerintah mengarahkan 40 orang untuk solat Jumaat di masjid serta berdoa dan membaca al-Quran sehingga waktu Asar. Malangnya kerana tindakan tersebut, jangkitan semakin meningkat!
(9) Tahun 848H, setelah kembalinya jemaah haji ke Mesir, kes meningkat mendadak. Kanak-kanak dan orang tua ramai mati sehingga 1,000 orang sehari!
(10) Ibn Hajar berpendapat, beliau cenderung kepada ulamak yang menyatakan aktiviti keagamaan perlu ditinggalkan ketika wabak, bimbang berlaku fitnah atas institusi keagamaan.
(11) Dengan kemajuan teknologi hari ini, pakar kesihatan berpendapat jangkitan dapat diminimakan dengan memakai mask, melakukan penjarakan fizikal, menggunakan sanitizer dan sebagainya. Solat di masjid boleh dilaksanakan dengan mematuhi SOP tertentu. Maka ianya lebih baik daripada menutup terus masjid seperti zaman dahulu.

Kaedah fiqh menegaskan:

ما لا يدرك كله لا يترك كله 

“Apa yang tidak boleh dilakukan secara lengkap jangan ditinggalkan kesemuanya.”

Rujuk kitab Bazlul Ma’un fi Fadhlil Toun karya Ibn Hajar al-Asqalani dan artikel Dr Bazzar Nizar Rayyan, pensyarah Universiti Islam Gaza.

Bahagian 3: Kesan tidak solat Jumaat

(1) Ulamak bersepakat bahawa tidak hadir solat Jumaat akan memberi kesan kepada jati diri Muslim. Nabi S.A.W bersabda tuhan akan tutup hati orang meninggalkan solat Jumaat.
(2) Kerana itulah lelaki diwajibkan solat Jumaat setiap minggu. Selepas itu mereka menyampaikan isi khutbah kepada keluarga. Sebagai ketua, lelaki bertanggungjawab terhadap agama keluarganya.
(3) Manusia sekiranya tidak mendengar peringatan lebih dari seminggu, minda mereka akan kabur dari melihat kebenaran. Jiwa mereka menjadi keras dan sukar mendorong kepada kebaikan.
(4) Dengan kemajuan teknologi, mungkin majlis fatwa boleh mengkaji soal kewajipan para lelaki mengikuti khutbah Jumaat secara online. Di samping itu, masjid-masjid meneruskan pengisian tazkirah secara online untuk ahli qaryah.
(5) Dr Esom Talimah mencadangkan agar solat Jumaat tetap dilakukan di rumah. Seorang berkhutbah walaupun dalam bilangan makmum yang sedikit. Boleh diambil pandangan mazhab yang tidak menetapkan bilangan dan tempat tertentu. Untuk lebih ihtiyat, kerjakan solat Zohor seperti biasa selepas khutbah.

Ini bagi mengurangkan kesan ketiadaan khutbah mingguan terhadap orang Islam. Merujuk kepada kaedah bahagian 3.11. Walau bagaimanapun, tetap perlu merujuk kepada autoriti agama di tempat masing-masing.

Rujuk artikel Dr Esom Talimah, Pensyarah al-Azhar Mesir.

Bahagian 4: Wabak dari perspektif eskatologi

(1) Bukan setakat COVID-19, malah wabak Amwas zaman Saidina Umar dan wabak-wabak sepanjang sejarah selepas itu juga dikategorikan sebagai wabak akhir zaman. Dalam satu Hadis, Nabi S.A.W menyifatkan wabak itu sebagai salah satu dari 6 tanda kiamat.
(2) Melihat kepada kemungkaran manusia yang melanggar batas halal haram dalam pemakanan dan gaya hidup, pasti lebih banyak wabak yang akan merebak selepas ini.
(3) Wabak hanya akan berakhir selepas khilafah terakhir Islam tertegak. Menurut Hadis, Nabi Isa akan memerintah dengan cara Islam sehingga keamanan tercipta. Banyak perkara ajaib berlaku termasuk penyakit-penyakit terhapus.

Rujuk buku Huraian Hadis Geoeskatologi untuk lebih lanjut.

Bahagian 5: Tindakan kita

(1) Perlu menerima hakikat pandemik ini akan berterusan lebih lama.
(2) Perlu ubah gaya hidup kepada norma baharu. Kehidupan sosial perlu mengambil kira penjarakan fizikal. Bisnes perlu beradaptasi dengan keperluan masyarakat semasa. Corak pendidikan juga berubah. Politik dan pentadbiran juga perlu memikirkan langkah untuk hidup bersama wabak, bukan sekadar langkah membendung wabak.
(3) Ulamak dahulu berpandangan lockdown perlu dibuat walaupun beri kesan kepada ekonomi. Ini kerana ekonomi adalah kepentingan harta manakala COVID-19 melibatkan kepentingan nyawa. Menurut tertib darurat 5, kepentingan nyawa perlu didahulukan berbanding kepentingan harta. Namun lockdown hari ini bukan sahaja beri kesan kepada ekonomi, bahkan turut beri kesan kepada nyawa. Ada yang hampir mati tidak punya sumber kehidupan, ada yang bunuh diri kerana tekanan mental dan kesempitan hidup. Maka pertimbangan ini sudah perlu dikaji kembali.
(4) Mungkin boleh difikirkan pendekatan negara-negara lain. Tidak melakukan lockdown, tetapi memperketatkan SOP. Tidak melakukan mass screening, tetapi sekadar merawat mereka yang positif sahaja. Ini boleh mengurangkan kos kerajaan dan memulihkan ekonomi rakyat.
(5) Kita tidak harus bergantung kepada vaksin semata-mata. Ia bukan ubat sebaliknya sebagai perangsang sistem imuniti manusia. Bukan semua orang sesuai divaksin. Pakar perubatan berselisih pandangan mengenai keberkesanan dan keselamatan vaksin sedia ada. Walau bagaimanapun, vaksin tetap diperlukan sebagai sebahagian langkah pencegahan.
(6) Perlu juga ambil inisiatif sendiri untuk meningkatkan keupayaan antibodi. Amalkan makanan tertentu seperti madu, bawang putih dan sebagainya yang didakwa boleh meningkatkan antibodi.
(7) Masih banyak ubatan berasaskan makanan yang diperkenalkan oleh Islam belum diterokai mendalam. Saranan daripada kitab perubatan seperti Tibb Nabawi dan Qanun fi Tibb perlu diketengahkan dalam mencari solusi COVID-19. Lakukan ujian klinikal yang sepatutnya terhadap apa yang didakwa dalam rujukan Islam. Bidang perubatan perlu lebih terbuka seperti negara yang tidak berkiblatkan barat (China, Thailand dan lain-lain).

Rujuk buku Di Bawah Naungan al-Kahfi jilid 2 untuk huraian lanjut.

Catatan di atas adalah point-point utama pengisian Bicara Online Bersama Daie anjuran I-MiTS Buloh Gading. Bagi mengikuti kupasan penuh, sila ikuti rakaman di:

https://www.facebook.com/iMiTSBuluhGading/videos/2827705704170820/

ALANG IBN SHUKRIMUN
17 Jumadal Ukhra 1442
30 Januari 2021 – HARAKAHDAILY 30/1/2021

- Advertisement -