Yadim peruntuk RM200,000 bantu asnaf fasa kedua

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kelantan memperuntukkan RM200,000 bagi menjayakan Program Musa’adah Covid-19 bagi fasa kedua.

Ia bertujuan menyantuni pesakit Covic-19 dan asnaf yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Yadim Kelantan, Mahadi Awang berkata, lebih 3,000 asnaf termasuk keluarga daif, ibu tunggal dan anak yatim disalur sumbangan bungkusan makanan bagi meringankan beban mereka.

- Advertisement -

Menurutnya, sukarelawan Yadim akan bergerak ke seluruh daerah menjejaki asnaf yang memerlukan bantuan dengan kerjasama pemimpin setempat.

“Bantuan kepada pesakit Covid-19 juga akan diberi fokus utama dengan membekalkan sumbangan makanan menerusi petugas barisan hadapan di pusat kuarantin di negeri ini.

“Bagi kanak-kanak dan remaja yang dikuarantin, Yadim membekalkan bahan permainan, peralatan melukis dan mewarna serta bahan bacaan bagi membantu menghilangkan kebosanan mereka,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada seorang penduduk yang mengalami penyakit kronik.

Turut hadir Adun Limbongan, Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah dan Ketua Jajahan Pasir Puteh, Ab Pattah Hasbullah.

Mahadi juga berkata, akhir tahun lepas program Musa’adah fasa pertama mengadakan gotong-royong pasca banjir dengan membersihkan 20 masjid dan surau di kawasan banjir melibatkan 370 sukarelawan. – HARAKAHDAILY 28/1/2021

- Advertisement -