Vaksin: Kerajaan pertimbang cadangan SUHAKAM

Datuk Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) supaya vaksin Covid-19 turut diberikan secara percuma kepada individu tanpa warga negara termasuk pelarian, tahanan dan banduan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim, berkata usaha bagi membendung virus Covid-19 sepenuhnya sukar dicapai sekiranya vaksin hanya diberi kepada rakyat Malaysia sahaja.

“Covid-19 tidak kira sama ada pelarin atau warganegara, ia (Covid-19) boleh berjangkit kepada siapa sahaja termasuk rakyat kita.

- Advertisement -

“Maka, secara umumnya kemungkinan besar semua yang ada dalam negara ini sama ada berstatus warganegara atau tidak, mungkin akan dipertimbangkan.

“Namun, ia tertakluk kepada keputusan akhir (Jemaah Kabinet) kerana mesti ada mekanisme untuk berunding dengan negara asal pelarian ini,” katanya kepada pemberita yang turut disiarkan secara langsung di berita RTM, hari ini.

Bagaimanapun, Amzad memberi jaminan bahawa rakyat Malaysia akan diberi keutamaan dalam penerimaan vaksin Covid-19 ini.

Mengulas berhubung bekalan satu juta dos vaksin Pfizer-BioNTech yang bakal diterima negara pada penghujung Februari depan, Amzad berkata persediaan dari segi logistik untuk penerimaan dan pengedaran telah dilakukan.

Menurutnya, ia merangkumi tempat penyimpanan dan penghantaran bekalan vaksin khususnya ke kawasan pedalaman dan yang sukar diakses.

Tambahnya lagi, raptai logistik untuk memastikan kelancaran pengedaran vaksin akan dilakukan di Belaga, Sarawak Jumaat ini. – HARAKAHDAILY 28/1/2021

- Advertisement -