Pengusaha ‘Familikukiss’ gali ilmu di Youtube

KANGAR: Bermula dengan hanya menolong ibu mengambil tempahan kek, kini beliau bersama ibu tidak lagi teragak-agak mengorak langkah mempromosi produk kek Familikukiss.

Kek yang dihasilkan anak sulung daripada lima beradik itu mendapat sambutan menggalakkan antaranya cheestart berinti krim coklat Nutella, kiwi, coklat, beri biru dan strawberi.

Advertisement

“Dalam soal resipi, saya cuba menghasilkan sesuatu yang sedap dan tidak terlalu manis. Selain daripada cheestart, saya juga menerima tempahan makaroni bakar, kuih raya dan creampuff.

“Dahulu asalnya saya cuma membantu ibu mengambil tempahan, kemudian ada pelanggan yang meminta untuk hias kek,” kata Siti Ruqiyah Mashuki, 29.

Beliau yang tinggal di Kampung Petai, Kangar pada mulanya hanya belajar menghias kek melalui Youtube, setelah menerima permintaan pelanggan.

Bermula dari situ beliau belajar melalui Youtube secara lebih mendalam bagi memenuhi permintaan pelanggan ibunya.

Menurutnya juga setiap hari ketika ada masa lapang beliau melayari Youtube bagi mengetahui cara-cara untuk mendeko kek.

“Apa yang saya lakukan itu sehingga terbawa-bawa dalam mimpi. Kemudian saya cuba praktikkan apa yang dilihat dengan menghias kek yang ditempah pelanggan,” katanya yang memulakan perniagaan sejak Februari 2017.

Menurutnya juga beliau mahu lebih fokus kepada tempahan di samping memperbaiki kemahiran menghias kek dan bereksperimen dengan kreativiti diri.

Siti Ruqiyah mengakui beliau belajar menghias kek di Youtube dengan memasuki kelas membuat cheesetart secara pengajian jarak jauh (PJJ).

“Pada masa itu kelas PJJ cara membuat cheesetart hanyalah serendah RM30. Kemudian timbul minat terhadap cheestart apabila saya nampak seorang kawan berkongsi gambar cheestart yang comel-comel hiasannya di Facebook,” ujarnya juga bertugas sebagai guru KAFA.

“Apabila mendapat gaji baharu saya akan buka kepada tempahan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 28/1/2021

Ikuti kisah lanjut dalam Harakah edisi cetak