Kementerian Wilayah akan perkasa Program MY5

Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan akan memperkasakan Program MY5 bagi membasmi kemiskinan bandar sekali gus menambah baik jaringan keselamatan sosial dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata program sepanjang tahun 2021 itu meliputi aspek pekerjaan dinamakan sebagai MYJob@Wilayah, persekolahan (MYSchoolBus@Wilayah), barangan keperluan asas (MYGrocer@Wilayah), makanan (MYFood@Wilayah) dan perubatan (MYMedic@Wilayah).

“Kita telah mulakan program ini (sekitar pertengahan) tahun lepas sebagai percubaan dan ad-hoc dengan kapasiti kecil jadi tahun ini kita akan menjalankan program dengan lebih meluas,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin terbitan Bernama TV, malam tadi.

Advertisement

Beliau berkata, MYJob@Wilayah bakal menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan kepada warga kota terutama yang terjejas akibat Covid-19 dalam enam bidang pekerjaan termasuk perkhidmatan, pembinaan, penyelenggaraan, pembersihan, pembuatan dan pembungkusan.

Jelasnya, MYSchoolBus@Wilayah yang bertujuan membantu meringankan perbelanjaan tambang pengangkutan murid sekolah daripada golongan berpendapatan rendah pula akan diperluaskan ke 158 kawasan perumahan awam dan swasta kos rendah melibatkan hampir 10,000 murid.

Annuar berkata, kementerian juga menyasarkan untuk memperluas program MYGrocer@Wilayah yang menawarkan golongan B40 membeli barangan dapur pada harga sehingga 20 peratus lebih rendah ke 158 kawasan perumahan kos rendah awam dan swasta serta kampung tradisi sekitar ibu negara.

“Saya juga mengharapkan lebih banyak sambutan dan kerjasama strategik pihak swasta untuk menjayakan MYFood@Wilayah dalam memastikan bantuan makanan percuma boleh dinikmati lebih ramai golongan memerlukan,” katanya.

Tambahnya, MYMedic@Wilayah yang menyediakan rawatan asas dan pemeriksaan percuma menerusi klinik bergerak kepada warga kota yang kurang berkemampuan secara mingguan juga akan dikembangkan ke lebih banyak kawasan.

Selain itu, Annuar turut berkongsi berkenaan sumbangan beras menerusi program MYBeras@Wilayah yang akan dilaksanakan mulai 1 Feb sehingga Jun tahun ini bagi meringankan beban warga Wilayah Persekutuan yang terjejas akibat Covid-19.

Jelasnya, untuk permulaan sebanyak 23,000 kampit beras sumbangan badan korporat dan orang ramai akan diagihkan tiga kali seminggu menerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan. – BERNAMA