KPT pastikan mahasiswa ikuti PdP dengan lancar

- Advertisement -

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa komited untuk memastikan para pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dapat menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan baik walau di mana sahaja mereka berada.

Pada 30 Oktober 2020, KPT telah melancarkan Pakej Pelan Data dan Peranti bagi membantu para pelajar terutamanya golongan B40. 320,396 pelajar telah dan akan menerima bantuan dalam bentuk sim kad atau tunai atau baucar dengan jumlah peruntukan sebanyak RM24 juta.

- Advertisement -

Bagi bantuan peranti (komputer riba) kepada pelajar B40 bersasar, sehingga kini sebanyak 3,773 peranti telahpun diedarkan kepada pelajar-pelajar IPT berkenaan. Sementara itu, sebanyak 3,997 buah komputer riba dan desktop lagi sedang dalam proses perolehan oleh KPT untuk diedarkan kepada mereka.

Sumbangan daripada Dana Universiti Awam, Tabung Haji, Yayasan, Tabung Kebajikan Pelajar, Zakat, Wakaf dan beberapa sumber lain ini melibatkan peruntukan lebih RM13 juta.

KPT juga telah mengadakan perbincangan dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk satu lagi inisiatif pinjaman kewangan di bawah Skim BSN MyRinggit-i COMSIS bagi pembelian komputer riba oleh pelajar IPT.

Selain daripada itu, KPT juga melalui Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) telah melancarkan satu inisiatif crowdfunding melalui Tabung Prihatin Siswa sebagai satu platform bagi mempelawa pihak luar bersama-sama dengan KPT dalam menyalurkan sumbangan untuk membantu meringankan kesulitan pelajar yang berkeperluan dalam meneruskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) tanpa kekangan. 

Usaha yang dibuat ini sangat penting bagi KPT dalam usaha untuk menjayakan aspek ekuiti dengan semua pelajar mendapat hak pendidikan yang setara tanpa jurang antara bandar mahupun luar bandar. PdP secara dalam talian merupakan antara norma baharu yang perlu kita santuni secara menyeluruh.

YB DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD 
Menteri Pengajian Tinggi – HARAKAHDAILY 27/1/2021

- Advertisement -