Kanak-kanak hidap kanser turut ikuti PdPR

- Advertisement -

KOTA BHARU: Hanya sempat menjejak kaki dua bulan sahaja ke sekolah, selebihnya akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lepas, kanak-kanak ini hanyalah menyambung pelajaran secara atas talian setelah disahkan menghidap kanser hati.

Putra Airil Asraq Mohd Aqimie, 8, murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Mulong sudah menjalani 16 kitaran kemoterapi bagi mematikan sel kanser di dalam tubuh badannya sejak Oktober lepas, dan kini beliau hanya mampu mengengsot untuk bergerak ke mana-mana.

- Advertisement -

Ibunya, Nurul Asyikin Razak, 32, berkata anak sulung daripada tiga beradik itu kini perlu mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), namun beliau tidak pernah memaksanya.

“Dalam keadaannya sekarang, saya tidak mahu memberi tekanan kepada Airil, dan jika dia berasa sihat dan mahu mengikuti PdPR, saya akan menemaninya menyiapkan tugasan sekolah sehingga selesai,” katanya yang tinggal di Kampung Kedai Mulong di sini hari ini.

“Lagipun, setiap kali selepas selesai menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, badannya menjadi lemah serta kesan daripada itu berat badannya juga semakin menyusut dan kini hanya seberat 17 kilogram (kg),” tambahnya.

Beliau berkata berkata anaknya itu perlu mengikuti rawatan kemoterapi setiap tiga kali sebulan bagi mematikan sel kanser, dan bersama suaminya, Mohd Aqimie Zulkifli, 37, mereka sentiasa berusaha sedaya upaya tanpa berputus asa, mencari ikhtiar untuk memulihkan penyakit Putra Airil.

Pada tahun 2017, Putra Airil disahkan bebas daripada kanser hati tahap dua, namun entah bagaimana penyakit itu kembali menyerang sendi kanak-kanak itu tahun lepas.

“Selama sebulan dia mengadu sakit pada bahagian sendi dan bimbang dengan keadaan itu, saya dan suami membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” kata Nurul Asyikin.

“Bagi mengenal pasti sakit yang dialami, doktor terpaksa mengambil air sum sum tulang belakang serta biopsi pada bahagian kaki kirinya, dan hasil keputusan yang diperoleh mengesahkan sekali lagi dia menderita penyakit kanser hati tahap tiga,” katanya.

Bagi memberi rawatan dan penjagaan terbaik, Nurul Asyikin mengambil keputusan berhenti kerja sebagai jururawat di sebuah klinik swasta untuk memberi sepenuh perhatian kepada anaknya, memandangkan suaminya bekerja sebagai mekanik.

Katanya, setiap bulan mereka membelanjakan lebih RM1,000 untuk keperluan anaknya, termasuk pembelian lampin pakai buang, kos ulang alik ke hospital selain susu khas berharga RM54 bagi satu tin yang boleh bertahan untuk tempoh dua hari sahaja. – BERNAMA

- Advertisement -