Banyak NGO hulur sumbangan pusat kuarantin

- Advertisement -

KOTA BHARU: Program tautan kasih siri pertama yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) Sabtu lepas menjadi tular sehingga banyak pihak tampil menghulurkan bantuan.

Pengarah Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim) Kelantan, Ustaz Mahadi Awang berkata, langkah itu bagi menyantuni pesakit dan petugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Kita mula-mula buat di Putik dan menjadi tular sehingga banyak NGO meminta dengan kita untuk menyertai program ini bersama-sama memberi sedikit sumbangan untuk menceriakan pesakit dan petugas.

- Advertisement -

“Sebelum ini orang melihat PKRC di sini sebagai fasiliti kerajaan, takut hendak mari kerana melihat kemudahan (PKRC) menerima peruntukan dan bantuan kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Tautan Kasih PKRC Kelantan Musaadah Covid-19 di Dewan Jubli Perak MPKB-BRI di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis penyerahan sumbangan itu ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dato’ Dr. Zaini Hussin dan Pengarah PKRC Kelantan, Dr. Azman Yakob.

Mahadi berkata, Yadim Kelantan kini menerima sumbangan kira-kira RM15,000 untuk diagihkan dalam bentuk makanan ringan dan keperluan asas lain kepada seluruh PKRC di Kelantan.

Menurut beliau, kerajaan negeri mewujudkan tiga PKRC iaitu Putik di Pengkalan Chepa, Dewan Jubli Perak MPKB-BRI dan Dewan Sivik di Gua Musang yang turut dijadikan pusat kuarantin. – HARAKAHDAILY 27/1/2021

- Advertisement -