Ubat gout rawat COVID-19?

- Advertisement -

MAKLUMAT terbaru mendakwa dan mendapati bawa ubat gout boleh digunakan untuk merawat pesakit COVID-19. Ubat yang bernama Colcichine itu adalah satu ubat yang biasa digunakan di klinik dan senang didapati untuk rawat pesakit Gout Artritis Akut.

Mekanisma Colchicine ini adalah ubat antiradang. Jadi indikasi penggunaannya boleh digunakan untuk merawat Gout Artritis Akut, Radang Jantung (Pericarditis) dan demam bagi penduduk di Mediterranean. Indikasi untuk merawat COVID-19 masih belum dimasukkan ke dalam senarai. Saya membaca dengan teliti laporan yang diberikan oleh mereka itu. Boleh baca lanjut di rujukan yang saya berikan di bawah.

- Advertisement -

Saya dapati inilah mungkin satu sinar baru di saat semua pakar seluruh dunia sedang mencari apakah rawatan yang terbaik untuk COVID-19. Sebelum ini kita telah cadangkan merawat COVID-19 menggunakan Klorokuin (Ubat anti-malaria) dan beberapa jenis lagi. Tetapi semuanya setakat ini tidak menunjukkan keberhasilan yang memberangsangkan. Pun begitu kajian demi kajian sedang dilakukan dengan lebih lanjut lagi.

Kali ini timbul pula satu kajian yang bernama ColCorona yang menggunakan ubat gout. Walaupun ianya masih lagi dalam tempoh kajian yang bermula pada Mac tahun lepas dan dijangka berakhir pada Mac 2021 ini, para pengkaji terlalu ghairah dan bersemangat untuk mengongsikan keberhasilan kajian mereka.

Dapatan yang telah diperolehi dari kajian tersebut adalah:

(1) Colchicine menurunkan sebanyak 21 peratus risiko kematian akibat COVID-19 berbanding dengan placebo.
(2) Jumlah kemasukan ke wad berkurang 25 peratus.
(3) Jumlah yang memerlukan Ventilator berkurang 50 peratus.
(4) Jumlah kematian setelah dimasukkan ke wad sebanyak 44 peratus.
(5) Populasi kajian sebanyak 4,488 pesakit dan kajian itu dikira sebagai statistik yang signifikan. Maknanya, ia satu jumlah yang besar dan statistik secara inferennya adalah lebih tepat dan jitu.

Bagi kita, apakah perlu kita ambil sekarang, jika kita sudah dijangkiti oleh COVID-19 atau digunakan sebagai pemintas awal (Prophylaxis)?

Sabar! Tunggu dulu. Prinsip kita perlu dijaga. Walau apapun dakwaan yang dikemukakan oleh pengkaji, kelulusan dari pihak berkuasa ubat-ubatan dalam negara wajib kita perolehi. Pihak berkuasa ubat dalam negara kita (NPRA) akan meneliti semua laporan lengkap kajian saintifik itu dan berbincang dengan pakar-pakar untuk menilai kesesuaian penggunaan dalam negara pula. Proses ini agak lebih mudah kerana semua data berkaitan dari pihak pengkaji sudah pun tersedia dibentangkan.

Itu pun masyarakat awam tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil ubat itu tanpa mendapat khidmat nasihat dari doktor. Ini kerana sudah tentu setiap bahan yang diberikan itu mempunyai kesan positif dan negatif. Mungkin ubat gout itu boleh merawat COVID-19, tetapi kesan negatif yang telah di ketahui seperti cirit-birit perlu pertimbangan. Penilaian penting ini perlu dilakukan oleh pihak yang berwajib sebelum sesuatu ubat itu diberikan kepada kita.

Mengambil apa saja ubatan yang tidak mendapat khidmat nasihat dari doktor boleh menimbulkan kekeliruan dan penyalahgunaan dan akhirnya memberi satu natijah yang buruk kepada pesakit.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 26/1/2021

Rujukan:
(1) Montreal Heart Institute. Colchicine Coronavirus SARS-CoV2 Trial (COLCORONA). Clinical Trials Org. March 2020 -March 2021.
(2) Christy Maginn. Colchicine reduces the risk of COVID-19-related complications. News of Institute Cardiology Montreal. January 23, 2021.

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -