PdPR: PAS gesa percepat beri komputer kepada murid

Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mempercepatkan pemberian komputer riba kepada 150,000 murid di 500 buah sekolah rintis bagi memudahkan proses pembelajaran dalam talian yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2021 sebelum ini.

Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dr Ustaz Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurrazi berkata, pihak kerajaan haruslah peka dan prihatin dengan situasi pada hari ini apabila ibu bapa terutamanya golongan berpendapatan B40 menerima kesan yang cukup mendalam akibat pandemik Covid-19.

“Sememangnya sumbangan alat peranti dinanti-nantikan para ibu bapa berpendapatan B40 bagi memudahkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anak-anak mereka.

- Advertisement -

“Sekiranya satu keluarga itu mempunyai lima orang anak yang setiap satunya mempunyai subjek-subjek tertentu, ini menyebabkan mereka terpaksa berebut untuk mendapatkan peralatan tersebut.

“Ibu bapa terpaksa membuat satu jadual khusus kepada anak-anak untuk bergilir-gilir menggunakan alat peranti yang terhad bagi menjalani kelas dalam talian dan sebagainya,” ujarnya kepada Harakahdaily hari ini.

Justeri itu Fakruddin berkata, kerajaan harus memikirkan jalan untuk mempercepatkan agihan berkenaan agar PdPR dapat dijalankan dengan baik dan lancar tanpa pendidikan anak-anak tidak keciciran,

Dalam pada itu beliau berkata, kaedah pengajian PdPR ini turut memberi kesan terhadap para guru yang menghadapi tekanan apabila mereka tidak mendapat pendedahan awal tentang pelaksanaan kaedah tersebut.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mencari jalan tertentu bagi memastikan pendedahan awal diberikan kepada para guru mengenai kaedah PdPR dalam bentuk kursus jangka pendek agar mereka dapat memberikan pengajaran yang lebih berkesan.

“Adalah amat tidak adil sekiranya segala permasalahan ini hanya ditujukan kepada guru sedangkan banyak lagi hal-hal yang perlu diambil oleh semua pihak bagi memastikan anak-anak kita dapat belajar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/1/2021

- Advertisement -