Ivermectin dan Covid-19

UBAT yang bernama Ivermectin telah disenaraikan oleh WHO (2019) sebagai ubat yang boleh digunakan mengikut indikasinya. IVM digunakan untuk merawat jangkitan cacing dan kutu.

IVM adalah murah dan boleh didapati dengan senang tetapi dalam Malaysia IVM hanya diluluskan kegunaannya untuk merawat cacing dalam binatang seperti anjing.

Kajian dalam makmal mendapati bahawa IVM itu boleh merencat RNA dan DNA virus. Justeru kebolehannya sebagai antivirus berjaya dibuktikan dalam kajian makmal. Beberapa pakar yang mencadangkan supaya menggunakan IVM ke atas pesakit untuk merawat Covid-19.

Advertisement

Terdapat juga bukti kajian pilot yang melihat kepada keberkesanan menggunakan IVM dalam merawat Covid-19. Kajian itu telah dijalankan oleh University of Navarra Clinic dan the Barcelona Institute for Global Health (ISGlobal) sepertimana yang disiarkan dalam jurnal Lancet Jan 2021.

Namun pengkaji sendiri menyarankan supaya kajian di dalam skala yang lebih besar perlu dilakukan kerana sampel kajian yang dilakukan oleh mereka itu adalah terlalu kecil. Sampel kajian pilot yang dilakukan adalah seramai 24 orang. Lagipun kajian itu tidak dibuat ke atas pesakit yang bertahap serius dan berisiko.

Dalam masa yang sama kita perlu melihat juga beberapa kajian yang lain yang menyentuh berkaitan dengan kesan sampingan. Sudah pasti sesuatu bahan itu mempunyai kesan sampingan sama ada ianya ringan ataupun serius. Dalam kes IVM ini terdapat satu kajian oleh The American Society of Tropical Medicine and Hygiene (2017), menyatakan bahawa mengambil IVM mempunyai kesan serius terhadap sistem saraf dan juga menyebabkan fungsi hati rosak.

Oleh yang demikian, kajian yang terperinci melalui ujikaji klinikal perlu dilakukan untuk menilai dan mengesahkan dalam pelbagai sudut sama ada ianya berkesan, dan selamat digunakan ke atas pesakit Covid-19.

Sebagai pengamal perubatan, kami perlu melihat keberkesanan ini dahulu melalui kajian-kajian yang akan dijalankan nanti. Justeru tidak boleh sewenang-wenangnya kita menggunakan IVM untuk diberikan kepada mana-mana pesakit yang positif kepada Covid-19. Pemberian tanpa kejituan kajian dan kelulusan pihak berwajib adalah salah dari segi disiplin ilmu dan juga etika perubatan.
.
Harap bersabar. Institute of clinical research dan Kementerian Kesihatan Malaysia bersama pakar penyakit berjangkit dalam proses untuk menjalankan kajian klinikal ke atas ubatan ini.

Rujukan:

  1. Chaccour C, Casellas A, Blanco-Di Matteo A, et al. The effect of early treatment with ivermectin on viral load, symptoms and humoral response in patients with mild COVID-19: a pilot, double-blind, placebo-controlled, randomized clinical trial. EClinicalMedicine. 2021.
  2. Chandler RE. Serious Neurological Adverse Events after Ivermectin-Do They Occur beyond the Indication of Onchocerciasis?. Am J Trop Med Hyg. 2018;98(2):382-388.
  3. National Institute of Health. The COVID-19 Treatment Guidelines Panel’s Statement on the Use of Ivermectin for the Treatment of COVID-19. January 14, 2021