Banjir: Muslimat Bentong ke Temerloh hulur bakti

BENTONG: Muslimat PAS Kawasan Bentong telah menggerakkan misi bantuan banjir membantu pembersihan sebahagian daripada deretan 300 kediaman di Taman Mentakab Indah, di sini baru-baru ini.

Advertisement

Inisiatif ini atas kesedaran betapa penduduk sedang melalui pengalaman perit pasca banjir apabila kediaman mereka dilanda lumpur yang menyebabkan kerosakan dan kemusnahan harta benda.

Gerak kerja berpasukan Muslimat PAS Bentong ini dipimpin Ketua dan Timbalan Ketua, Roslin Jidin dan Faezah Sedir serta Pengerusi Lajnah Kebajikan, Zabedah Mohammad dan Pengerusi Lajnah Pendidikan, Zarina Puteh.

Terdahulu sebelum itu mereka turut bertungkus-lumus mengumpulkan sumbangan, membungkus dan berulang alik mengagihkan untuk mangsa banjir di Lanchang dan Mentakab dalam Parlimen Temerloh.

“Misi bantuan banjir Dewan Muslimat PAS Bentong sudah bermula sejak 7 Januari lalu di Kampung Lengkong dalam kawasan Bentong dan kemudian menyambung bantuan ke Taman Mentakab Indah pada 10 Januari diikuti keesokkan harinya.

“PAS Bentong telah membuka pusat pengumpulan barang-barang keperluan mangsa banjir di bawah seliaan NGO Khidmat Malaysia bertempat di SRITI Abrar, Bentong.

“Muslimat dipertanggungjawabkan mengumpul serta melakukan kerja-kerja pembungkusan hasil sumbangan orang ramai untuk disampaikan kepada mangsa banjir,” jelas Roslin.

Perjalanan dari Bentong memakan masa kira-kira sejam sebelum tiba di lokasi pusat pengumpulan barang-barang mangsa banjir di Markaz Tarbiyyah PAS Lanchang atau Darul Ansar di Kampung Cempaka Lanchang.

Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah dalam borak santai sepanjang perjalanan menaiki kereta yang dipandu sendiri oleh beliau menuju ke Mentakab sempat memberi tazkirah berharga buat petugas.

“Banjir pembuka tirai 2021 adalah antara ujian terbesar buat kita semua khususnya bagi negeri Pahang. Pun begitu, syukur kali ini banjir di Bentong tidak seteruk tahun sebelumnya, jadi kita boleh menumpu membantu daerah-daerah yang berjiran dengan Bentong seperti Raub, Mentakab dan Temerloh.

“Kita pegang jawatan bukan untuk menunjuk-nunjuk atau untuk meraih publisiti jauh sekali mengejar darjat ‘popular’. Komitmen mendukung gerak kerja ‘iqamatuddiin wa siasatuddunya bih’ (menegakkan agama dan mentadbir dunia dengannya).

“Ini adalah tugas yang mulia di sisi Allah S.W.T tetapi berat penanggungjawabannya. Hari ini Dewan Muslimat memaknai peranannya sebagai ‘rusuk kiri’ PAS Bentong melaksanakan kerja-kerja ini.

“Bermula dari mengumpul barang sumbangan, membungkus, memasak hidangan petugas hinggalah turun ke padang membantu apa termampu. Hanya Allah jua yang mampu menilai segala kerja buat kita dan membalasnya dengan sebaik-baik kebaikan di sisi-Nya,” ungkap.

Baiknya hati budi seorang ketua selaku ‘orang paling atas di kawasan’ sanggup memberikan khudrat ketika diperlukan tanpa berkira walau dikekang waktu dengan tugasnya sebagai tonggak utama menjaga kawasan.

Khairuddin sendiri hadir menyampai sumbangan banjir ke luar kawasan dan bertindak selaku pemandu dan jurufoto bagi program Dewan Muslimat ini. – HARAKAHDAILY 22/1/2021