PAS Kelantan arah tangguh mesyuarat agung

- Advertisement -

TUMPAT: Badan Perhubungan PAS Kelantan turut mengarahkan mesyuarat agung semua peringkat ditangguhkan buat sementara waktu.

Setiausahanya, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, ia selaras dengan gesaan PAS Pusat supaya menangguhkan sementara mesyuarat agung berkenaan berikutan penularan Covid-19 yang semakin meningkat setiap hari.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkara itu sewaktu sesi lawatan ziarah peladang dalam Dun Pasir Pekan, di sini, semalam.

Pada 17 Januari lalu, PAS Pusat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat membuat keputusan dan mengarahkan semua mesyuarat agung tahunan dan muktamar di semua peringkat ditangguhkan sehingga ke suatu tarikh yang akan ditetapkan.

Surat berkenaan ditandatangani setiausaha agung, Dato’ Takiyuddin Hassan.

Menurut Che Abdullah lagi, berikutan gesaan itu pihaknya telah memanjangkan arahan berkenaan supaya tidak diadakan mesyuarat agung sehingga tarikh baru yang akan diberitahu nanti.

“Bermula dari cawangan kita telah mengarahkan perkara itu (mesyuarat) tidak diadakan.

“Kita amat bimbang dengan kes penularan Covid-19 yang semakin meningkat setiap hari di negara kita,” ujarnya.

Mengulas berkaitan program ziarah itu, beliau berkata ia sekadar untuk menjengkuk dan bertanya khabar golongan tidak berupaya dengan kadar yang cukup singkat.

“Dengan penularan Covid-19 ini, kami bergerak hari inipun tidak ramai, hanya beberapa orang sahaja dan pada jangka masa yang cukup singkat,” ujarnya.

Pada sesi lawatan itu, beliau turut menyumbang sebuah kerusi roda kepada pesakit yang memerlukan di samping sumbangan kewangan. – HARAKAHDAILY 20/1/2021

- Advertisement -