Kuching perintis pembangunan kebanggaan Sarawak

- Advertisement -

KUCHING: Bahagian Kuching yang luas daratannya mencecah 4,560 kilometer persegi, boleh diibaratkan lebih besar daripada gabungan tiga negeri iaitu Perlis, Melaka dan Pulau Pinang, sudah semestinya memberi cabaran dan peluang dalam usaha untuk membangunkan kawasan ini, secara menyeluruh.

Namun, sejak Sarawak mencapai kemerdekaan setelah bersama-sama Sabah, Brunei dan Singapura menyertai pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963, kejayaan Sarawak dalam mengharungi segala kepayahan pada awalnya, telah memberi manfaat kepada Kuching, dengan terus mengecapi pembangunan sehingga hari ini.

- Advertisement -

Malah, setelah pentadbiran negeri Sarawak dibahagikan kepada 12 bahagian pada 2015, Bahagian Kuching kini merangkumi tiga daerah, iaitu Kuching, Bau dan Lundu, yang masing-masing berkembang pesat sejak dua dekad dalam alaf baharu ini.

Zaman itu menelusuri era kecemerlangan, semasa pentadbiran Ketua Menteri keempat dan paling lama berkhidmat di Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, yang telah mengangkat taraf bandar Kuching sebagai sebuah bandar raya pada 8 Ogos 1988.

Meskipun setelah Abdul Taib mengundur diri pada 28 Februari 2014, Bahagian Kuching terus mengecapi pembangunan sebagai wilayah perintis Sarawak di bawah kepimpinan Tan Sri Adenan Satem (Allahyarham dianugerahkan Pehin Sri), sebelum diganti oleh Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, kawasan di tengah-tengah bandar raya yang dimajoritinya dihuni masyarakat Melayu.

Menariknya, meskipun Satok mengalami transformasi pembangunan pesat sejak bertahun-tahun lamanya, namun ia masih dapat mengekalkan persekitaran tradisional kampung di kawasan itu.

Tarikan terbaharu di bandar raya ini, ialah jambatan pejalan kaki ikonik dikenali sebagai Jambatan Darul Hana, dengan kos RM35 juta dibina berhampiran tempat Gabenor British terakhir, Sir Alexander Waddle menyeberangi Sungai Sarawak dari Astana Negeri ke tebing seberang, pada hari terakhir pentadbiran Inggeris di Sarawak.

Meskipun menjadi mercu tanda terbaharu, pelawat ke Darul Hana dapat mengimbau nostalgia lalu kehidupan masyarakat di sepanjang Sungai Sarawak malah kerajaan negeri juga memberi komitmen untuk mempertahankan bangunan-bangunan popular lain yang berusia lebih seabad di bandar raya Kuching.

Projek Darul Hana ini merupakan sebahagian daripada pelbagai inisiatif oleh kerajaan negeri, sempena sambutan ulang tahun ke-32 bandar raya Kuching, tahun lalu.

Menurut Abang Johari, rancangan jangka panjang itu adalah untuk memberi nafas baharu kepada pembangunan di bahagian-bahagian tertentu di bandar raya ini sehingga 2025.

“Sebenarnya, terdapat banyak kawasan di Kuching yang dapat kita bangunkan semula tanpa menjejaskan nilai-nilai tradisional. Kita ingin memberi nafas baharu agar kita mempunyai bandar modern selain melestarikan kawasan tradisional itu,” katanya sambil menambahkan bahawa projek peremajaan bandar raya itu akan dilaksanakan dengan berpandukan pelan induk jangka panjang yang telah dirangka.

Tidak dinafikan, jirannya, daerah Bau yang suatu ketika dahulu terkenal dengan aktiviti perlombongan emas, telah mula menceburi ke arah usaha ekonomi baharu, sebagaimana digambarkan oleh Abang Johari baru-baru ini daerah Bau telah menemui ‘emas’ dalam bentuk baharu, untuk rakyat.

Keyakinan ini dizahirkan kerajaan negeri yang telah memperuntukkan RM164.8 juta sejak empat tahun lepas bagi melaksanakan beberapa projek di Bau, sebuah pekan yang sedang membangun, terletak kira-kira 33 km barat daya bandar raya Kuching.

ADUN Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata peruntukan tersebut telah dibahagi untuk pembinaan kemudahan awam, skim perumahan mampu milik, saluran paip air terawat dan skim peelektrikan luar bandar serta kerja-kerja pembaikan jalan.

Menurut beliau, pembangunan di Bau akan berterusan kerana kerajaan negeri sudah mempunyai rangka tindakan membentuk kemajuan masa depannya hingga 2030 untuk memastikan daerah itu setanding dengan daerah-daerah lain yang maju di Sarawak.

“Rakyat telah melihat pembangunan luar biasa berlaku di Bau dalam jangka masa empat tahun dan ia akan terus dilaksanakan setelah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir,” katanya.

Lundu, daerah paling selatan di Sarawak, mempunyai banyak peluang dan akses yang lebih mudah, apabila siapnya pakej Telok Melano-Sematan bernilai RM580 juta sejauh 33.7km, projek Lebuhraya Pan Borneo pada 2019, sekali gus menjadi antara tarikan destinasi pelancongan di negeri ini.

Allahyarham Adenan, yang merupakan ADUN Tanjung Datu pernah bergurau pada 2017 dengan menggambarkan bahawa Kawasan itu yang terletak di bawah daerah Lundu, adalah ‘syurga’ bagi pemancing.

Malah, beliau pernah berseloroh ketika melawat daerah itu tidak lama dahulu bahawa kawasan perairan Lundu mempunyai banyak ikan dengan kata-kata: ”Di sini (Lundu) ada terlalu banyak ikan sehingga dah tua baru mati,”.

Hakikatnya, potensi daerah Lundu untuk muncul sebagai antara destinasi pelancongan di Sarawak diakui oleh Ketua Menteri yang mengumumkan bahawa pelan induk pembangunannya telah dibentuk dan akan merangkumi infrastruktur asas bagi pembangunan pelancongan.

“Dengan adanya infrastruktur ini, sektor swasta dapat turut serta dalam aktiviti pelaburan dan mempromosikan destinasi menarik ini ke seluruh dunia.

“Di sini, kami mempunyai Taman Negara dan pantai yang indah, yang boleh dijadikan sebagai daya tarikan,” tambah Abang Johari. – BERNAMA

- Advertisement -