Kenaikan harga MSM tidak jejas minyak masak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan amat prihatin berhubung isu kenaikan harga minyak masak di pasaran tempatan yang dikaitkan dengan kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM).

Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan bahawa sekitar satu juta tan minyak sawit adalah untuk kegunaan pasaran minyak masak tempatan dengan pecahan 720,000 tan untuk yang bersubsidi dalam paket plastik sekilogram.

- Advertisement -

Manakala, sebanyak 280,000 tan adalah tidak bersubisidi yang boleh didapati dalam botol satu kilogram hingga lima kilogram dan tin 17 kilogram.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Malaysia mengeksport sebanyak 24 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit bernilai RM64.8 bilion bagi tempoh dari Januari hingga November 2020.

Ujarnya, harga minyak sawit dan produk berasaskan sawit adalah ditentukan oleh pasaran dunia melibatkan pelbagai faktor seperti permintaan dan penawaran minyak serta lelemak dunia.

“Sepanjang tahun 2019 hingga 2020, harga purata MSM di pasaran tempatan telah mencatatkan paras terendah pada Julai 2019 iaitu RM1,879 satu tan dan meningkat ke paras tertinggi iaitu RM3,620.50 satu tan pada Disember 2020.

“Harga MSM telah meningkat sebanyak 92.7 peratus atau RM1,741.50 satu tan berbanding paras terendah yang direkodkan pada tahun 2019,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataannya itu, Khairuddin memaklumkan strategi subsidi yang dilaksanakan Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengurangkan impak negatif akibat turun naik harga minyak sawit di pasaran dunia terhadap pengguna tempatan.

“Walaupun harga MSM telah meningkat dengan ketara dalam tempoh antara Julai 2019 hingga Januari 2021, namun peningkatan harga minyak masak di pasaran tempatan adalah pada kadar rendah,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pengguna mempunyai pilihan untuk membeli minyak masak bersubsidi sekilogram pada harga RM2.50 terutamanya bagi golongan berpendapatan B40. – HARAKAHDAILY 20/1/2021

- Advertisement -