Mangsa banjir bakal terima bantuan RM500

- Advertisement -

KEMAMAN: Musim tengkujuh yang melanda Terengganu baru-baru ini melibatkan lima gelombang yang menjejaskan 35,581 mangsa daripada 8,226 keluarga di seluruh negeri ini.

Namun pasca banjir, penduduk terpaksa pula bekerja keras membersihkan lumpur dan ditambah pula banyak harta benda mereka musnah.

Berikutan itu, pelbagai agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) tampil bagi membantu mangsa yang terkesan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, memberi jaminan bahawa bantuan kepada mangsa banjir tetap akan diteruskan.

Katanya, kerajaan negeri akan mengagihkan RM500 kepada setiap keluarga mangsa yang terjejas akibat banjir. Ia dijangka diagih pada pertengahan Februari hadapan.

“Kelewatan itu kerana ia masih di peringkat pengumpulan data-data mangsa banjir terutama yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kita (kerajaan) kini dalam proses mengemas kini data mangsa banjir tersebut. Pada peringkat awal kita jangka boleh buat pembayaran pertengahan Januari.

“Namun terpaksa ditangguh disebabkan ketika itu kita berdepan pula dengan gelombang banjir kelima. Fasa lima ini baharu berakhir dan diharap tiada lagi berlaku banjir,” katanya di sini.

Beliau ditemui selepas menyertai Misi Penghantaran Bantuan kepada penduduk yang terjejas banjir di sekitar Dun Chukai, semalam.

Hanafiah yang juga Adun Chukai berkata, bantuan itu diharap dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung penduduk terlibat dengan banjir.

Berdasarkan data dikeluarkan Bilik Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (BGBN), seramai 32,581 mangsa banjir membabitkan 8,226 ketua isi rumah (KIR), berpindah ke PPS di seluruh negeri.

Sementara itu, gelombang keenam banjir di Terengganu dijangka tidak melanda negeri ini. Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berjaga-jaga dan peka dengan ramalan cuaca semasa.

Aktiviti di tepi pantai dan kegiatan menangkap ikan di laut antara larangan tetap dan masih tidak boleh dijalankan sekarang.

Menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, biarpun cuaca semakin baik dan ramalan cuaca juga menunjukkan tanda-tanda pemulihan, namun tidak bermakna banjir gelombang keenam tidak berlaku.

“Cuma untuk ramalan cuaca dan penelitian yang diperolehi daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sekarang menyatakan potensi untuk berlaku banjir semula di negeri sangat tipis,” katanya pada Ahad.

Difahamkan, pola pergerakan awan yang menyebabkan hujan lebat kini bergerak ke Sabah dan Sarawak pula, tambah beliau. – HARAKAHDAILY 19/1/2021

- Advertisement -