Covid-19: PAS Perlis tangguh semua aktiviti

- Advertisement -

KANGAR: Badan Perhubungan PAS Perlis menangguhkan semua program parti berkuatkuasa hari ini (19 Januari 2021).

Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, penangguhan itu dibuat susulan peningkatan ketara kes Covid-19 di Perlis kebelakangan ini.

Katanya, arahan penangguhan tersebut melibatkan semua jenis aktiviti termasuk program kuliah di semua premis milik parti.

- Advertisement -

“Tindakan ini bagi membantu membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat sekarang.

“Justeru itu, ahli PAS di seluruh peringkat di negeri ini (Perlis) diminta mematuhi arahan tersebut yang berkuatkuasa sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang berkata, PAS Perlis menyeru seluruh ahli PAS mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Selain itu, mereka juga diseru mengadakan solat hajat di kediaman masing-masing memohon kepada Allah agar penularan wabak di negara ini dapat dihentikan segera.

Semalam, kes positif Covid-19 di Perlis telah mencecah tiga angka kepada 114 kes setelah 16 kes positif baru telah dilaporkan.

Menurut Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man berkata, peningkatan kes dipercayai akibat dari kehadiran individu-individu bergejala dari zon-zon merah ke Perlis sepanjang bulan Disember lalu.

“Mereka datang ke Perlis samada sebagai pelancong, balik kampong kerana bercuti atau hadir majlis-majlis kenduri di Perlis.

“Saya sedar rakyat Perlis bimbang dengan situasi ini. Saya juga bimbang. Tetapi jangan panik. Kita masih boleh meneruskan aktiviti dan rutin harian,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azlan dalam masa sama meyakinkan rakyat bahawa petugas barisan hadapan sedang berusaha melakukan yang terbaik untuk mengekang penularan wabak tersebut.

Justeru itu, beliau menyeru kepada semua rakyat Perlis supaya memberikan kerjasama yang baik dan berharap agar seluruh rakyat Perlis terus mematuhi dan mengamalkan SOP yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

“Kesedaran tentang risiko Covid-19 di kalangan rakyat sudah sedia tinggi. Kerana itulah Perlis bertahan lama sebagai zon hijau sehinggalah munculnya kes-kes baru seminggu lepas.

“Saya yakin dengan sikap dan disiplin yang tinggi dalam kalangan rakyat, Perlis akan kembali ke zon hijau semula. Mohon semua jangan panik. Bersabar dan istiqomah mematuhi SOP,” tambah beliau lagi.- HARAKAHDAILY 19/1/2021

- Advertisement -