Kerajaan perlu perkenal pakej rangsangan khas semasa Darurat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mencadangkan suntikan dana bernilai USD1.9 trilion (RM7.6 trilion) bagi pelan pemulihan ekonomi dalam menangani impak COVID-19 di negara itu.

Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, langkah seumpama itu nyata merupakan langkah sama yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan pada ketika ini ke atas rakyat Malaysia.

Menurut beliau, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM305 bilion untuk 2020 dengan memperkenalkan empat pakej rangsangan ekonomi, manakala untuk 2021, Belanjawan Negara berjumlah RM322.5 bilion.

“Dalam tempoh kurang daripada 2 tahun kerajaan telah dan akan membelanjakan sejumlah RM627.5 bilion dan jumlah ini adalah perbelanjaan yang terbesar dalam sejarah negara untuk tempoh 22 bulan (Mac 2020-Disember 2021).

- Advertisement -

“Bantuan tunai one off dalam tempoh ini juga adalah terbesar dalam sejarah berjumlah sebanyak sekurang-kurangnya RM14.7 billion bagi 2020 dan Bantuan Prihatin Rakyat 2021 iaitu RM6.5 bilion dan jumlah keseluruhan sebanyak sekurang-kurangnya RM21.2 bilion,” ujarnya.

Pun begitu katanya, walaupun kerajaan juga telah membelanjakan sejumlah besar peruntukan untuk membantu Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan melindungi pekerjaan, ia mungkin belum memadai.

Akui beliau, kerajaan telah memberi pelbagai inisiatif terutamanya dalam Pakej Prihatin PKS, Penjana dan Kita Prihatin termasuk ianya juga ditekankan dalam Belanjawan 2021 dengan RM4.6 bilion diperuntukkan untuk memperkasakan golongan usahawan dan PKS khususnya daripada kalangan Bumiputera.

“(Iaitu) peruntukan 3.7 bilion melalui Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) untuk 500,000 peluang pekerjaan baharu dan RM2 bilion untuk Penambahbaikan Program PenjanaKerjaya yang menyediakan 250,000 peluang pekerjaan menjadikan keseluruhan 750,000 peluang pekerjaan. 

“Namun ianya masih lagi belum dapat dilaksanakan secara menyeluruh pada bulan Januari ini disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lima negeri dan tiga wilayah, di mana di sini sahaja menyumbang 66.3 peratus KDNK negara.

“Juga dengan PKP ini ia akan memberikan kesan kepada ekonomi negara bukan hanya melibatkan KDNK negara, bahkan kadar pengangguran negara. Oleh itu, saya menjangkakan kerajaan akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi khas.

“Ini sekiranya PKP bersambung selepas 26 Januari nanti untuk membantu kelompok rakyat yang terjejas disebabkan oleh PKP 2.0,” ulas beliau yang merupakan Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia. 

Pada pandangan beliau, antara fokus adalah melibatkan tambahan bantuan tunai kepada rakyat atau pihak yang terjejas, moratorium dilanjutkan sehingga Jun 2021 dan suntikan dana kepada PKS yang terjejas.

Termasuk katanya, melalui Program Subsidi Upah Bersasar sehingga Jun 2021 yang mana semasa pembentangan Belanjawan 2021 ianya dilanjutkan selama 3 bulan, tetapi perlu untuk dilanjutkan sekurang-kurangnya 3 bulan lagi.

Sebagai perbandingan, di AS, Biden dalam cadangan pelan tersebut akan melaksanakan kenaikan gaji minimum kepada USD15 (RM60) sejam dan bantuan USD350 bilion (RM1.4 trilion) kepada kerajaan tempatan dan negeri yang terjejas dan membuka semula sekolah secara selamat.

Cadangan itu jelasnya, turut membabitkan dana USD160 bilion (RM645 bilion) untuk memerangi COVID-19 termasuk kempen vaksinasi dan USD170 (RM685 bilion). – HARAKAHDAILY 18/1/2021

- Advertisement -