Gejala selsema dan penilaian terhadapnya

- Advertisement -

SELSEMA itu gejala. Ia bukannya nama sejenis diagnosa penyakit khusus. Bagi kami sebagai doktor perubatan akan menilai gejala seperti hidung berair, demam, sakit kerongkong serta batuk itu. Adakah ianya dijangkiti oleh kuman yang serius ataupun tidak? Ianya memerlukan pemeriksaan yang lebih teliti dan juga memerlukan ujian makmal (jika perlu). 

Walaupun majoriti di kalangan pesakit boleh dikategorikan sebagai ‘selsema biasa’ dan doktor akan memberi penerangan serta menenangkan pesakit supaya tidak bimbang dengan ‘selsema biasa’ itu. Selsema biasa disebut ‘common cold’.

Tetapi di dalam pemikiran doktor dan penulisan mereka di atas nota pesakit ianya akan diletakkan beberapa kemungkinan penyakit bawaan kuman yang lain (lebih berbahaya) dan mempunyai gejala serupa dengan ‘selsema biasa’ tadi. Penilaian kemerbahayaan itu berdasarkan kepada pemeriksaan pesakit secara holistik. Termasuk juga beberapa ujian makmal tertentu yang perlu dilakukan bagi menentusahkan sama ada ianya dijangkiti oleh selsema yang merbahaya atau tidak. Selsema yang bahaya pula disebut Influenza ataupun ringkasnya flu.

- Advertisement -

Bagi flu pula terdapat beberapa variasi sama ada ianya betul-betul bahaya ataupun biasa dan tidak mendatangkan mudarat yang besar kepada pesakit. Ianya bergantung kepada virus apa yang menjangkiti pesakit tersebut.

Walaupun terdapat lebih kurang 198 jenis flu yang dibawa oleh variasi virus influenza dalam dunia ini, tetapi 8 daripadanya yang biasanya berlaku di atas manusia dan kadangkala boleh mendatangkan bahaya:

(1) Influenza A (boleh menyebabkan Pandemik).
(2) Influenza B (boleh menyebabkan Epidemik).
(3) Influenza C (kurang bahaya).
(4) Influenza D (menjangkiti haiwan).
(5) Influenza bermusim (Seosonal Influenza), boleh menjadi wabak dan membahayakan. Seperti yang berlaku pada akhir 2019. Peningkatan kes begitu mendadak sekali.
(6) Pandemik Influenza.
(7) Influenza khinzir (Swine Flu H1N1), pernah menjadi Pandemik tahun 2009.
(8) Influenza burung (Bird Flu H5N1).

COVID-19 pula adalah jangkitan dari virus SARS-Cov-2, dalam lajuran keluarga virus Corona. Walaupun petanda awalnya ia boleh datang selsema tetapi manifestasi dan tahap klinikal COVID-19 adalah berbeza dengan Influenza. Sesuai dengan nama virusnya SARS-CoV-2, menjangkiti paru-paru dengan teruk dan boleh membawa maut.

Adalah tidak betul sama sekali dakwaan sesetengah pihak yang menganggap bahawa COVID-19 itu sama dengan flu. Nampak sangat mereka itu tidak fasih dalam perubatan dan tidak belajar ilmu perubatan itu dengan kaedah yang betul. Bentuk dan struktur virus pun berbeza. Begitu juga dengan sifatnya dan DNA-nya juga berbeza di antara COVID-19 dan flu.

Ya, mungkin kaedah rawatan dan pencegahan flu dan COVID-19 itu nampak lebih kurang sama tetapi kebolehjangkitan dan virulen (tahap kemerbahayaan) kedua-duanya berbeza. Kita lihat bahawa COVID-19 itu begitu membahayakan manusia pada masa sekarang ini. Tidak dinafikan bahawa Influenza juga bahaya tetapi tidak sebahaya COVID-19. Setidak-tidaknya juga seasonal Influenza itu, terdapat vaksin yang boleh mencegahnya daripada terus menjangkiti manusia.

Ada juga pihak yang dipertikaikan kenapa kita tidak melakukan perkara yang sama terhadap demam denggi. Ini juga salah satu daripada kedangkalan maklumat yang diperolehi oleh mereka. Kita tahu punca jangkitan denggi adalah akibat nyamuk. Faktor dan puncanya adalah sikap kita juga yang tidak menjaga kebersihan di persekitaran kita sehingga menyebabkan berlakunya tempat-tempat pembiakan nyamuk dan sebagainya. Di sini juga kerajaan menggunakan Akta Kawalan Penyakit Berjangkit. Demi mengawal dan mencegah jangkitan denggi dalam masyarakat supaya tidak menjadi wabak dalam sesuatu lokaliti. Tidak bermakna apabila COVID-19 itu muncul kejadian denggi tidak diambil endah oleh kerajaan. Semua diuruskan oleh KKM. Program kawalan dan juga pembasmian serta kempen masih diteruskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Jangan menidakkan usaha ini.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 18/1/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -