Peniaga rayu orang ramai patuh SOP

PERMATANG PAUH: Peniaga yang terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat berharap orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19.

Advertisement

Pengurus Muzalman Management Service, Nor Ashikin Abdullah berkata, masyarakat perlu mematuhi SOP yang ditetapkan supaya wabak tersebut segera berakhir.

“Apabila meningkat begini ia memberi kesan kepada semua pihak terutama yang terlibat dengan perniagaan seperti kami.

“Wabak yang menular semula kerana sikap tidak patuh kepada SOP secara tidak langsung memberi kesan kepada rantaian ekonomi terutamanya perniagaan,” katanya ketika ditemui di sini.

Baru-baru ini, kerajaaan mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri selama 14 hari bermula 13 Januari lepas membabitkan Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Enam lagi negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan melaksanakan PKPB, sementara PKP Pemulihan untuk Perlis dan Sarawak.

Nor Ashikin yang memiliki kiosk di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Seberang Jaya Pulau Pinang berkata, dua hari pertama pelaksanaan PKP jualan merosot antara 65 hingga 75 peratus.

“Pergerakan juga lengang dan jualan merudum agak teruk,” ujar beliau yang berkecimpung sebagai agent Takaful kenderaan dan insurans am.

Oleh itu, beliau mencadangkan peniaga menggunakan medium lain termasuk secara atas talian bagi meneruskan perniagaan.

“Selain itu, suntikan dan bantuan daripada kerajaan juga diharapkan sekiranya situasi sebegini berlarutan lebih lama lagi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/1/2021