Rakyat perlu serius amal normal baharu

PENDANG: Rakyat Kedah perlu serius mengamalkan normal baharu memandangkan musuh (COVID-19) tidak kelihatan dan sudah berada dalam komuniti.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, wabak itu pada bila-bila masa sahaja boleh menjangkiti manusia.

Katanya, apabila kesihatan terjejas semua perkara tidak dapat dilakukan dengan sempurna dan ditambah pula ekonomi tidak dapat digerakkan.

Advertisement

“Kalau boleh kita tidak mahu lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula di Kedah kerana banyak perkara tergendala dan terbantut,” katanya di sini.

Kedah sebelum ini melalui 11 PKP dalam pelbagai bentuk termasuk Bersyarat, Bersasar, Temco atau sebagainya sehingga membatas pergerakan rakyat.

Pada gelombang kedua COVID-19 muncul beberapa kluster di negeri itu antaranya Sivagangga, Sungai, Telaga, Muda, Tembok dan Bayam Indah.

Bagaimanapun, dua hari lepas Kedah antara negeri yang dikenakan PKP Bersyarat mulai 13 hingga 26 Januari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, kerajaan negeri bersungguh-sungguh berharap orang ramai mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengekang wabak tersebut.

Malah, kerajaan Kedah baru-baru ini melancarkan Kempen Amalan Normal Baharu di negeri itu. – HARAKAHDAILY 14/1/2021