Proklamasi darurat untuk kesejahteraan rakyat – RC

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Proklamasi darurat ketika ini adalah tindakan tepat demi kesejahteraan rakyat dan negara daripada pihak tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri, kata Pengerusi Rahmat Care, Ustaz Mohammad Ibrahim.

- Advertisement -

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mad China berkata, pihaknya amat kesal dengan sikap segelintir pihak yang mempertikaikan pelaksanaan darurat kesihatan itu.

Sedangkan, secara nyata dan jelas ia bertujuan untuk mengelak penularan wabak COVID-19 dalam komuniti sebelum keadaan menjadi lebih sukar dan tidak terkawal, ujarnya ketika dihubungi Harakah, petang tadi.

Tambah beliau, lebih mengecewakan adalah terdapat segelintir pihak yang cuba mempersoalkan pendirian Yang Di-Pertuan Agong berhubung perkara sama.

Menurut beliau, hal ini kerana, Yang Di-Pertuan Agong adalah individu yang tidak berat menyebelahi kepada mana-mana pihak, baik kerajaan mahupun pembangkang.

Bahkan, kata beliau, tindakan Yang Di-Pertuan Agong memperkenan proklamasi darurat itu dibuat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, di bawah Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Justeru itu, tambah beliau lagi, semua masyarakat termasuk pemimpin-pemimpin politik haruslah berpegang teguh kepada titah Yang Di-Pertuan Agong dan mengenepikan segala sentimen-sentimen politik yang ada ketika ini.

Kesemua fokus haruslah diberi kepada pembangunan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat untuk mendepani cabaran pasca COVID-19, bencana banjir dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, tambah beliau lagi.

Katanya lagi, rakyat tentunya muak dan berasa jengkel sekiranya api dan bahang politik masih tidak berkesudahan sedangkan mereka begitu susah untuk bertahan mendepani ekonomi kini yang dimomok dengan pelbagai telahan mengenai kelembapannya.

Oleh itu, beliau sebagai pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kemanusian, Rahmat Care berharap pihak tertentu menginsafi tindakan tidak matang itu dan kembali menjadikan rakyat sebagai keutamaan dalam memimpin negara. – HARAKAHDAILY 13 /1/2021

- Advertisement -