Persenda proklamasi darurat adalah khianat dan derhaka

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman menyifatkan tindakan mempersoalkan motif proklamasi darurat adalah perbuatan khianat dan derhaka serta harus dihukum.

Advertisement

Beliau berkata, perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menerima cadangan permohonan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bagi pelaksanaan darurat adalah berdasarkan kebijaksanaan Baginda.

Ujarnya, selain Perdana Menteri, Al-Sultan Abdullah juga telah menerima taklimat daripada penjawat awam utama sebelum keputusan itu diambil.

Faiz menegaskan bahawa proklamasi darurat itu bukan keputusan Muhyidin semata-mata tetapi keputusan kolektif oleh kerajaan.

Justeru, tambah Faiz, Baginda telah bertindak secara adil, berkecuali dan bebas tanpa dipengaruhi sebarang kepentingan selain daripada kepentingan negara yang adil.

“Sebelum proklamasi darurat diumumkan, Baginda telah menerima menghadap Perdana Menteri dan mendengar sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Haji Affendi Buang; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Dato’ Abdul Ghani Salleh.

“Oleh yang demikian, sebarang perlecehan, ejekan, sindiran, putar-belit akan niat sebenar proklamasi darurat seperti yang dinyatakan dalam perutusan rasmi Istana Negara, boleh dianggap sebagai khianat serta derhaka.

“Sama ada ia dilakukan oleh orang biasa atau mereka yang ternama, secara terang-terangan atau terselindung, ia wajar dilihat sebagai suatu bentuk hasutan dengan niat jahat untuk menghilangkan hormat dan ketaatan rakyat terhadap institusi Raja Berpelembagaan di negara ini,” ujarnya dalam satu kenyatan, hari ini.

Semalam, Al-Sultan Abdullah memberi perkenan perisytiharan darurat bermula Selasa sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Ahmad Fadil Shamsudin dalam kenyataan Istana Negara memaklumkan Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Namun, terdapat pengkritik khususnya daripada pembangkang menuduh Muhyiddin berusaha untuk terus berkuasa setelah kehilangan majoriti di Dewan Rakyat.

Wujudnya segelintir anggota parlimen menarik semula sokongan kepada Muhyiddin, yang juga adalah Presiden Bersatu dalam usaha untuk menekannya supaya membubarkan Dewan Rakyat agar pilihan raya umum dapat diadakan.

Faiz, dalam kenyataannya juga mendakwa bahawa mereka yang masih ‘menyalak’ mengenai pilihan raya harus mengenang semula kesan penularan setelah pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu hingga mencetuskan gelombang ketiga COVID-19.

“Mereka yang terdesak mahukan PRU segera ternyata datang dalam kalngan ahli-ahli politik yang berpolitik 24 jam terutama daripada Pakatan Harapan (PH) serta kelompok mahkamah dari Umno,” ujarnya.

Istilah ‘kluster mahkamah’ digunakan untuk menyindir sekumpulan pemimpin Umno kanan yang berdepan tuduhan rasuah dan didakwa menuntut konsesi daripada Perdana Menteri.

Sebaliknya, kata Faiz, apa yang didambakan rakyat ialah pemulihan ekonomi, keselamatan nyawa dan sistem keadilan yang utuh.

Faiz juga membidas Ketua Pembangkang, Dato’ Sri Anwar Ibrahim yang berkata Muhyiddin memilih jalan pintas, terdesak dengan memohon proklamasi darurat.

Beliau pada masa sama ingin mengingatkan Presiden Pakatan Rakyat (PKR) itu bahawa Yang Di-Pertuan Agong pernah memberikan pengampunan kepadanya sebelum ini.

“Dan khusus kepada Ketua Pembangkang yang juga merupakan seorang bekas banduan, Dato’ Sri Anwar Ibrahim, saya ingin ingatkan jika rakyat boleh hormat keputusan Yang Di-Pertuan Agong sebelum ini yang membebaskan dan mengampunkan anda dari hukuman penjara kes liwat, walaupun ada yang tidak setuju dengan tindakan Agong ketika itu, kenapa tidak pihak anda hormat saja keputusan Agong sekarang mengiystiharkan darurat tidak kiralah apa jua sebab untuk darurat itu?” katanya.

Muhyiddin, dalam ucapannya sebelum ini mengenai pengisytiharan darurat menekankan bahawa tindakan itu bukan rampasan kuasa tentera dan perintah berkurung juga tidak akan dilaksanakan.

Malah katanya, kerajaan akan terus berfungsi seperti biasa di peringkat persekutuan dan negeri sepanjang tempoh pelaksanaan darurat tersebut. – HARAKAHDAILY 13/1/2021