Sesi persekolah diteruskan, tertakluk status lokaliti- Dr Radzi

KUALA LUMPUR: Sesi pembukaan penggal pertama persekolahan sesi 2021 akan bermula pada 20 Januari tertakluk kepada lokaliti dan status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi setiap negeri yang terlibat dengan penguatkuasaan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pengoperasian sekolah di kawasan PKPP dan PKPB bagi Institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Advertisement

Ia turut melibatkan semua kategori Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM termasuk sekolah antarabangsa adalah berdasarkan takwim institusi masing-masing.

Malah katanya, bagi calon peperiksaan utama terutama di negeri dikenakan PKP dibenarkan hadir ke sekolah dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Bagi negeri yang terlibat dengan PKP hanya pelajar yang terlibat menduduki peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM), dan peperiksaan antarabangsa yang setara dibenarkan ke sekolah,” kata Dr Mohd Radzi dalam sidang media, hari ini.

Namun jelas beliau, bagi pelajar sekolah rendah dan menegah yang terlibat dengan PKP akan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdpR).

Manakala, bagi pelajar Kolej Vokasional bagi semester dua SVM dan DVM tahun 2020 turut akan melaksanakan pembelajaran di rumah.

Sementara itu katanya, bagi pelajar berasrama penuh yang terletak dalam kawasan PKP yang akan menduduki peperiksaan akan dibenarkan pulang ke asrama bermula 16 Januari 2021.

Malah surat kebenaran khas akan dikeluarkan bagi membolehkan untuk merentas negeri dan daerah.

Dalam pada itu katanya, tadika yang berdaftar di bawah kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di kawasan PKP dibenarkan berroperasi secara bersemuka.

Bagaimanapun katanya, IPS lain tidak dibenarkan beroperasi secara bersemuka dan setiap pengoperasian tersebut tertakluk kepada SOP dan pengoperasian sekolah dalam norma baharu. – HARAKAHDAILY 12/1/2021