PAS Lipis rayu bantu mangsa banjir bangkit semula

- Advertisement -

LIPIS: PAS Kawasan Lipis telah membuat lawatan untuk melihat sendiri kesan tragedi banjir dashyat yang telah berlaku beberapa hari lepas dan mengakibatkan kemusnahan harta benda penduduk dalam Parlimen ini, semalam.

- Advertisement -

Banjir diawal tahun baru 2021 ini meninggalkan kesan yang sangat mendalam bagi penduduk kerana kali terakhir banjir terburuk yang pernah berlaku adalah pada 50 tahun lalu iaitu pada tahun 1971.

Malah, banjir kali ini berlaku sangat luar biasa sehingga kebanyakan mereka tinggal sehelai sepinggang, manakala harta dan rumah banyak yang musnah dan tidak lagi boleh digunakan.

Yang DiPertua PAS Lipis, Roslan Zainal Al-Ahmadi diiringi Timbalan Ketua Muslimat PAS Lipis, Hasanah Ludin telah turun padang menziarahi antara penempatan terjejas teruk iaitu Kampung Melayu Benta dan Taman Teratai, di sini.

Rombongan juga sempat singgah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di mana semuanya di bawah pengurusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mendapat sumbangan makanan daripada NGO dan orang ramai.

Antara kerisauan pihak PAS Lipis adalah kemampuan penduduk untuk membersihkan kediaman mereka yang diselaputi lumpur setelah ditenggelami air banjir di mana sebahagiannya tenggelam sepenuhnya.

Kerana dilihat bukan sekadar soal kudrat, malah dikusutkan lagi dengan bekalan air yang belum pulih sepenuhnya untuk membersihkan rumah.

Kebanyakan mereka terpaksa membuang hampir semua isi peralatan rumah kerana musnah diselaputi lumpur, selain terpaksa mendapatkan semula keperluan asas dalam masa segera seperti tikar bantal, pakaian dan peralatan rumah.

Sementara itu Jabatan Amal Lipis bersama dengan Naib Yang Dipertua PAS Lipis, Ustaz Wan Azlan Wan Adnan telah memulakan operasi Operasi Cuci di Kampung Tempoyang, manakala Khidmat Malaysia Lipis bergerak dari bilik operasi di Kampung Berchang.

Khidmat Malaysia Lipis juga memaklumkan bahawa Jabatan Amal dari Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Terengganu dan Kelantan akan turun ke Lipis untuk operasi pembersihan rumah mangsa-mangsa banjir sekitar Parlimen Lipis.

Setakat ini PAS Lipis menerima sumbangan daripada Muslim Care, Sekretariat Anak Perantau Pahang, Jabatan Amal Selangor, NGO Pan Global, Khidmat Malaysia Pusat dan ramai lagi melibatkan barangan makanan dan kewangan.

PAS Lipis masih lagi memerlukan dana untuk meneruskan kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir di sekitar Parlimen Lipis di mana banjir berlaku di semua DUN iaitu DUN Benta, DUN Cheka dan DUN Padang Tengku.

Roslan sehubungan itu menyeru semua pihak yang berkemampuan, membantu penduduk untuk bangkit semula membina kehidupan baru dan semangat baru setelah di uji Allah dengan banjir yang dahsyat ini serta di beri kesabaran dan ketabahan mengharungi ujian ini.

Sumbangan boleh di buat menerusi Public Bank 3816650609 dan sebarang pertanyaan hubungi 013-9225143 (Roslan) atau 013-9474556 (Ustaz Roslan Harun). – HARAKAHDAILY 8/1/2021

- Advertisement -