Ibadat haji belum dapat pengesahan Arab Saudi

- Advertisement -

KANGAR: Kebenaran pelaksanaan ibadah haji bagi umat Islam di Malaysia tahun ini masih belum diputuskan Kerajaan Arab Saudi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ustaz Ahmad Marzuk Shaary berkata, setakat ini belum lagi ada kata putus daripada Arab Saudi.

Begitu juga katanya, berkaitan kuota yang akan diperuntukkan kepada jemaah haji dari Malaysia.

- Advertisement -

“Ini kerana sekiranya dibuka sempadan negara itu untuk mengerjakan ibadat haji tahun ini dipercayai jumlah jemaah yang dibenarkan masih lagi terhad kerana wabak Covid-19 sekarang.

“Kemungkinan juga kita tidak akan mendapat kuota sebagaimana dahulu iaitu satu peratus daripada populasi penduduk,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Pada Februari tahun lepas kerajaan Arab Saudi menangguhkan kemasukan individu ke negara itu bagi tujuan umrah di Makkah dan ziarah di Madinah bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Malah, pada musim haji tahun lepas dilaksanakan secara terhad dengan penyertaan hampir 10,000 jemaah berbanding 2.5 orang dari seluruh dunia sebelum itu.

Jemaah yang dibenarkan menunaikan haji perlu menjalani kuarantin mandatori selepas selesai menjalani ibadah berkenaan.- HARAKAHDAILY 6/1/2021

- Advertisement -