Kongsi pengalaman, motivasi jentera PAS DUN Lendu

- Advertisement -

MASJID TANAH: Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPrN) PAS Melaka, Bahiki Ismail menceritakan pengalaman beliau berkempen untuk PAS di Lundu, Sarawak semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016 yang lepas untuk memotivasikan Jentera Pilihan Raya PAS Dun (JPrD) Lendu.

- Advertisement -

Menurut Bahiki, pada masa itu, beliau telah ditugaskan untuk membentuk jentera kempen pilihan raya PAS di Lundu, Sarawak yang mana sebahagian besar penduduknya adalah daripada kaum Dayak.

“Jadi bila saya pergi sana, tak kenal siapa penyokong PAS. Siapa pun tak kenal. Saya pergi dua orang ‘ricky‘ selama seminggu sebelum penamaan calon. Pergi sana tak kenal… Pergi sini tak kenal.

“Akhirnya pada hari penamaan calon, tiba-tiba ada dua orang penduduk tempatan daripada kaum Dayak datang jumpa saya, kata nak sokong PAS.

“Maknanya, perkara yang penting kita kena buat kerja dulu. Insya-Allah, nanti akhirnya Allah SWT akan hantar orang-orang yang akan menyokong dan menolong kita.

“Alhamdulillah, pada masa itu saya pergi dari satu rumah panjang ke rumah panjang, dapat saya kumpulkan (penyokong). Pilihan raya sebelum itu kita dapat 400 undi. Kali itu Alhamdulillah, kita dapat 1,000 lebih undi,” ujar beliau bersemangat.

Menurut Bahiki pada masa itu, ramai pemimpin PAS Pusat yang baru datang ke situ untuk membantu kempen melahirkan rasa tidak percaya apabila beliau memaklumkan bahawa beliau telah mengumpulkan beberapa orang petugas PAS dari kalangan orang tempatan.

“Mereka tak percaya. Mereka kata tempat macam ini ada ke orang nak sokong PAS? Saya kata saya dah susun tiga ceramah. Nanti minta semua pimpinan datang bagi ceramah. Bila saya buat (program ceramah), terperanjat mereka! Punya ramai orang Dayak datang ceramah sokong kita!

“Itu sebab dalam dunia ni Allah SWT tunjukkan kita buat kerja dan usaha. Insya-Allah, Allah akan bagi bantuan. Tapi kalau kita duduk diam saja, tak jadi apa,” ujar beliau lagi.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan jentera pilihan raya bagi JPrD Lendu dalam Kawasan Masjid Tanah, di Markaz PAS Cawangan Kampung Lendu, di sini, petang semalam.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman pula mengingatkan jentera PAS agar tidak keliru dengan kekalutan politik yang sedang melanda parti-parti orang Melayu di Malaysia pada masa ini.

“Apa yang dilakukan PAS ini adalah mencontohi apa yang Rasulullah lakukan dalam proses dan langkah-langkah membentuk negara Islam yang kuat di Madinah dulu.

“Pada mulanya Rasulullah SAW menyatukan antara orang Islam Makkah dengan orang Islam di Madinah. Semangat itu yang kita contohi, lalu kita bentuk Muafakat Nasional, (MN) yang kita perkasakan ini,” ujar beliau.

Ustaz Imran yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Melaka itu menambah, selepas Rasulullah SAW menyatukan umat Islam maka Rasulullah SAW membentuk pula satu pemerintahan di bawah satu perjanjian meliputi juga orang-orang bukan Islam.

“Jadi penyatuan kita ini tidak boleh hanya melibatkan orang Islam saja. Mesti melibatkan orang-orang bukan Islam yang tidak ekstrem untuk bersama-sama dengan kita. Itulah semangat Perikatan Nasional (PN) yang kita pertahankan,” jelas Ustaz Imran.

Turut hadir ialah Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Masjid Tanah, Rohizan Abdul Rahman, Setiausaha PAS Kawasan Masjid Tanah yang juga Pengarah JPrD Lendu, Jamaruddin Ahmad, AJK PAS Kawasan, Adam Baba dan AJK JPrD PAS Dun Lendu.- HARAKAHDAILY 471/2021

- Advertisement -