Ameerah suntik semangat pelajar ke alam sekolah

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Ameerah Kawasan Indera Mahkota telah mengadakan program ‘Kembali Ke Sekolah 2021’ yang dilangsungkan di PASTI As-Salam, Sungai Karang, di sini semalam.

- Advertisement -

Sumbangan berupa kelengkapan persekolahan untuk tahun baharu kepada para pelajar kurang berkemampuan dan anak yatim ini bertujuan meringankan beban keluarga terbabit.

Ketua Ameerah Indera Mahkota, Solehah Shah berkata, bantuan ini juga sebagai menyuntik semangat dalam kalangan pelajar tersebut untuk menempuh sesi persekolahan bakal bermula 20 Januari depan.

“Sumbangan yang diberikan merangkumi baucar Pasaraya SAKAN, beg, peralatan alat tulis dan barangan dapur dengan nilainya dianggarkan RM200 seorang.

“Diharap setiap pelajar komited dengan pelajaran biarpun dalam norma baharu meskipun halangan yang mendatang memberi kesan kepada adik-adik dalam melakukan persiapan ke alam persekolahan pada tahun ini,” katanya.

Ketua Muslimat PAS Indera Mahkota, Salwani Salleh berkata, Ameerah selaku muslimat muda dalam PAS telah memainkan peranan dalam memberi kesedaran politik kepada anak-anak muda.

Bahkan Ameerah ujarnya, sebagai barisan muslimat muda telah menyediakan pelbagai platform dan idea untuk semua anak-anak khususnya anak-anak perempuan supaya bersama dalam agenda berkebajikan.

ADUN Beserah, Andansura Rabu pula pada ucapan perasmiannya menekankan mengenai pentingnya persiapan persekolahan dalam membentuk minda berkualiti untuk masa hadapan.

Beliau juga menasihati anak-anak penerima agar berjaya dalam pelajaran untuk mengubah kehidupan di masa akan datang dan keluar dari kelompok kemiskinan.

Malah peringatnya untuk mereka memahami mengenai hala tuju dalam meneruskan kehidupan yang sangat mencabar di era globalisasi ini dengan lebih cemerlang. – HARAKAHDAILY 3/1/2021

- Advertisement -