Musibah COVID-19: Pentas penyegaran budaya pembelajaran

- Advertisement -

DI DALAM ucapan penggulungan sesi pembentangan Bajet 2021 baru-baru ini, Timbalan Menteri Kementerian Pendidikan Malaysia telahpun memaklumkan berkenaan rancangan pengagihan peranti kepada 150 ribu orang pelajar yang layak bagi memudahkan mereka mengikuti pengajian secara atas talian. Kenyataan tersebut sedikit sebanyak melegakan para pelajar, ibu bapa dan para guru.

Sekiranya bilangan keseluruhan pelajar yang sedang menuntut di sekolah-sekolah menjadi ukuran, jumlah 150 ribu peranti belum memadai kerana mengikut data statistik pendidikan 2018 KPM sendiri menunjukkan bahawa bilangan murid sekolah rendah sahaja mencecah seramai 2,693,318 orang, manakala 2,041,798 orang pula penuntut di peringkat menengah.

Oleh itu, jumlah 150 ribu peranti belum mencukupi bahkan pihak KPM perlu merangka rancangan pertambahan jumlah peranti dari semasa ke semasa bagi memudahkan pelajar mengakses bahan pembelajaran dengan lebih efektif. 

- Advertisement -

Pada ketika ini, fokus utama yang perlu diberikan perhatian oleh pihak KPM adalah bagaimana menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan berkesan dalam suasana yang begitu terhad akibat daripada musibah COVID-19 ini. 

Antara langkah-langkah pihak KPM seperti mempelbagaikan kaedah penyampaian bahan pelajaran, rakaman pembelajaran yang dapat dimuatnaik oleh pelajar di dalam atas talian serta mengemas kini kandungan tv pendidikan sememangnya banyak membantu pelajar. Walau bagaimanapun ia masih belum mencukupi kerana bukan semuanya memiliki alat peranti berkaitan.

Dalam hal ini, Lajnah Pendidikan PAS Pusat ingin menyarankan supaya pihak KPM memikirkan juga beberapa hal tambahan bagi memantapkan sesi pengajaran dan pembelajaran. Antaranya ialah mengenai jumlah peranti yang diperlukan oleh keseluruhan pelajar. Apakah jumlah peranti dan jenis yang ada di pasaran dapat menampung bilangan pelajar yang ramai seluruh negara? Dan berapakah kos pembelian bagi satu-satu peranti tersebut sekiranya ada di kalangan ibu bapa yang ingin mendapatkannya?

Sekiranya peranti di pasaran dapat menampung jumlah keseluruhan pelajar, maka pihak KPM perlu juga memaklumkan bagaimana cara memperolehi peranti berkenaan dengan mudah. Hal Ini penting bagi mengelak daripada berlakunya manipulasi harga peranti di pasaran serta monopoli pembekalan peralatan tersebut.

Ini tidak termasuk lagi bilangan adik beradik pelajar yang ramai, sedangkan alat peranti hanyalah satu sahaja. Begitu juga pertindihan jadual pembelajaran yang menyebabkan mereka berebut-rebut mendapatkan alat peranti tersebut.

Di samping itu, pihak KPM diseru supaya menyediakan aplikasi dwi komunikasi yang berupaya membantu guru-guru memastikan anak-anak murid mereka hadir ke sesi atas talian. Aplikasi yang menarik seperti paparan serta pemilihan corak penyampaian yang interaktif dapat menarik minat murid dan pelajar menekuni subjek yang diajar.

Isu mengenai kos data talian juga perlu diberi perhatian oleh pihak KPM. Tentunya kos tersebut turut mempengaruhi perbelanjaan bulanan sesebuah keluarga khasnya kepada isi keluarga yang masih berada di peringkat persekolahan. Untuk itu, dicadangkan supaya pihak kerajaan menyediakan pelan ekonomi jangka pendek dan panjang bagi meringankan peningkatan kos bulanan terhadap keluarga terbabit.

Lajnah Pendidikan PAS yakin sekiranya pihak KPM dapat menguruskan sistem penyampaian ilmu dengan baik, maka masalah keciciran di dalam pengajaran dan pembelajaran tidak akan berbangkit. Jadikan musibah COVID-19 sebagai pentas penyegaran budaya pembelajaran dan sistem penyaluran ilmu yang lebih moden sesuai dengan era maya masa kini. Isu pendidikan hari ini bukan saja hal peranti semata-mata, tetapi komitmen KPM memberikan perkhidmatan terbaik, yang akhirnya dapat memikat dan meningkatkan kepercayaan seluruh rakyat kepada kementerian dan KPM dan Kerajaan PN. 

DR. AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat,
Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS – HARAKAHDAILY 1/1/2021

- Advertisement -