Tiga nikmat 2020 yang terkesan di hati

ADA yang bertanya saya, “Apakah kenangan yang paling terkesan di hati YB sepanjang 2020?” Memikirkan jawapannya, saya termangu sebentar. Sepanjang ingatan saya, ada 3 perkara yang betul-betul memberi kesan kepada hati saya sepanjang 2020. Saya lebih senang memanggilnya ‘nikmat’. 3 nikmat yang dipinjam oleh-Nya kepada saya.

Nikmat memberi


Pertama, nikmat memberi. Alhamdulillah, ini nikmat terbesar pada diri saya. Bermula Mac hingga Disember 2020, saya menggerakkan inisiatif Musaadah COVID-19 yang telah mengagihkan sejumlah RM365.5 juta kepada 12 kelompok sasar di seluruh Malaysia.

Ini tidak termasuk agihan bulanan zakat kepada asnaf Wilayah Persekutuan yang mencecah RM623.6 juta dan lain-lain. Insya-Allah, saya akan keluarkan Kad Laporan Mac – Disember 2020 Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk penelitian semua rakyat Malaysia.

Advertisement

Rasa satu kepuasan yang amat mendalam apabila melihat sendiri aliran keluaran wang zakat, sedekah, wakaf dan lain-lain kepada mereka yang memerlukan. Saya tidak ada apa-apa kepentingan melainkan rasa tanggungjawab untuk memastikan setiap bantuan disampaikan seluasnya, diaudit dengan teliti dan menggembirakan isi keluarga penerima dengan bantuan daripada kerajaan.

Dari Perlis hingga ke Sabah. Rasa hilang penat apabila melihat wajah anak-anak kecil tersenyum gembira menerima sumbangan kami. Jika saya ada 25 jam dalam sehari, sudah pasti akan saya manfaatkan sebahagian besarnya untuk turun ke lapangan untuk mengagihkan bantuan.

Ya, adakalanya saya tidak sempat turun sendiri menyampaikan bantuan atas faktor kekangan masa dan beberapa keutamaan lain. Namun, saya tetap pastikan bantuan tersebut sampai kepada penerima. Terima kasih JAKIM, MAIWP, JAWHAR, TH, YWM, YaPEIM, YADIM dan PPZ-MAIWP atas usaha keras saban hari tanpa henti menyalurkan bantuan ke seluruh Malaysia.

Seringkali saya ulang bahawa saya selaku Senator, tidak ada kawasan khusus. Justeru, kawasan saya ada seluruh Malaysia. Ini bukan sekadar retorika kata, tetapi ikhlas daripada lubuk hati saya.

Nikmat mentadbir

Kedua, nikmat mentadbir. Saya akui, tugas yang dipikul sekarang memang mencabar. Namun, saya sudah tanamkan azam untuk melaksanakan apa yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara dalam tempoh ini. 

Alhamdulillah, bagi yang mengikuti perkembangan yang saya kongsikan di semua media sosial saya (Facebook, Instagram, Twitter, Youtube dan Telegram Messenger), banyak perubahan yang telah dilaksanakan dalam tadbir urus hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan. Saya akan kongsikan lebih lanjut dalam Kad Laporan Mac – Disember 2020 Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada awal Januari 2021.

Menerima amanah dalam tempoh getir pandemik COVID-19 sememangnya pengalaman yang baharu buat saya. Saya bersyukur kepada Allah S.W.T kerana mengurniakan saya pasukan yang cukup baik terdiri daripada agensi-agensi di bawah tanggungawab saya yang banyak membantu. Terima kasih kepada TV Alhijrah, jua media-media semasa lain kerana sentiasa menyalurkan maklumat yang sahih kepada rakyat Malaysia berkenaan urusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan. Insya-Allah nanti saya akan adakan majlis penghargaan khas untuk media.

Saya juga punya rakan sekerja yang amat memahami dan kami saling melengkapi. Terima kasih YB Ustaz Marzuk, Timbalan Menteri yang sentiasa serius apabila kami berbicara soal ummah. Sentiasa ada sebagai teman berbual ketika kami bergurau senda. Sentiasa memberikan kepada saya buah fikiran yang bernas untuk masa depan Malaysia. Uhibbuka fillah.

Nikmat bermuhasabah

Ketiga, nikmat bermuhasabah. Sungguh, di celah kesibukan setiap hari, ada sahaja waktu sedetik dua untuk saya bermuhasabah akan kekurangan diri. Hati saya mudah terusik melihat kesusahan rakyat di luar sana. Setiap waktu saya berfikir dan berbincang mengenai bagaimana lagi penambahbaikan dalam tadbir urus hal ehwal Islam boleh dilaksanakan untuk maslahah umat Islam dan rakyat Malaysia amnya. Ada sahaja cadangan yang bernas, terus kami laksanakan!

Kejian, perlian, fitnah dan kecaman hakikatnya adalah asam garam dalam dunia ini. Ia hanya membuatkan saya lebih bersemangat untuk bekerja kerana-Nya. Saya maafkan semuanya. Saya memandang positif kesemuanya kerana Allah Maha Mengetahui dan Maha Adil. Saya amat hargai setiap kritikan membina kepada saya untuk masa depan yang lebih baik bagi umat Islam. Tempoh yang berbaki untuk saya, hanya akan dimanfaatkan untuk ummah.

Saya akhiri coretan ringkas ini dengan doa Saidina Abu Bakr al-Siddiq tatkala dipuji:

اللَّهُمَّ أَنْتَ أَعْلَمُ مِنِّى بِنَفْسِى وَأَنَا أَعْلَمُ بِنَفْسِى مِنْهُمْ اللَّهُمَّ اجْعَلْنِى خَيْرًا مِمَّا يَظُنُّوْنَ وَاغْفِرْ لِى مَا لاَ يَعْلَمُوْنَ وَلاَ تُؤَاخِذْنِى بِمَا يَقُوْلُوْنَ

“Ya Allah, Engkau lebih mengetahui keadaan diriku daripada diriku sendiri dan aku lebih mengetahui keadaan diriku daripada mereka yang memujiku. Ya Allah, jadikanlah diriku lebih baik dari yang mereka sangkakan, ampunilah aku terhadap apa yang mereka tidak ketahui dariku, dan janganlah menyeksaku dengan kata-kata mereka.”

(Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’abul Iman, 4/228, no. 4876)

Jika 2020 berulang kembali, apa yang ingin saya lakukan? Tidak ada apa-apa yang ingin lakukan melainkan terus positif dan menggiatkan kerja untuk ummah kerana saya tahu aturan-Nya adalah yang terbaik!

Tekad dan azam saya semoga sinar 2021 ini, agensi lslam terus gah dan izzah dalam memartabatkan lslam dengan penuh harmoni dan kasih sayang.

Akhukum fillah,

YB SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 31/12/2020