Perjanjian rahsia vaksin

- Advertisement -

APABILA YB Khairi Jamaluddin, Menteri MOSTI mengeluarkan kenyataan bahawa Perjanjian Pembelian Vaksin Pfizer atau BioNtec itu adalah sulit, maka ramai pula yang bising. Tidak hairan jika orang awam yang tidak faham berkaitan dengan proses pembelian sesuatu ubat-ubatan ataupun peralatan perubatan. Masalahnya orang politik pun bernada sama, tidak memahami proses kerja pembelian dalam kerajaan.

Saya juga tidak hairan jika antivaksin yang mempertikaikan Perjanjian Tanpa Pendedahan (Non-Disclosure Agreement) itu, sebab memang perangai antivaksin pun selalu mempertikaikan apa saja berkaitan dengan vaksin. Walaupun mereka sebenarnya tidak pun menjadi pelanggan untuk menggunakan vaksin tersebut. Mereka bising sebab agenda peribadi mereka tidak tercapai, produk yang mereka jual itu tidak laku? Atau sengaja mencari publisiti murahan di media sosial?

Sesiapa sahaja yang terlibat dalam perniagaan atau perolehan sesuatu produk, Perjanjian Tanpa Pendedahan ini adalah sesuatu yang biasa. Lumrah bagi setiap perniagaan produk ingin mengikat produk mereka supaya tidak diciplak ataupun digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan perniagaan mereka, sudah pasti mereka mengemukakan beberapa syarat-syarat perjanjian. Ia bukannya sesuatu yang pelik kerana ia menjaga hak cipta sesuatu bahan produk agar tidak didedahkan tersebut kepada orang ramai ataupun mana-mana pihak yang tidak sepatutnya. 

- Advertisement -

Sekali lagi ia bukanlah sesuatu yang memeningkan kepala kita dan bukannya pihak kerajaan ingin menutup apa-apa karahsiaan yang melibatkan vaksin itu sendiri. Apa sahaja maklumat berkaitan dengan vaksin itu bermula dari proses pembuatan serta bahan-bahan yang terkandung di dalamnya, semuanya telah tersedia ada dan didedahkan kepada umum sejak daripada pembangunan vaksin itu sendiri hingga sekarang. Ianya adalah telus dan tidak ada perkara yang berselindung di sebalik itu.

Untuk maklumat umum, semua syarikat pengeluar ubat (vaksin termasuk kategori ubat) akan daftarkan hak cipta mereka (patent) demi menjaga agar tidak diciplak oleh syarikat lain. Proses ini sama sahaja dengan produk-produk lain yang mendaftar hak cipta. Sudah tentu segala maklumat berkaitan dengan pembelian perolehan akan dilakukan dengan teliti. Akhirnya kedua-dua belah pihak, penjual dan pembeli akan menandatangani satu perjanjian persefahaman. 

NDA ini tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi dan tidak boleh dedah sewenangnya. Sebagai contohnya, jika kita mengadakan mesyuarat di dalam jabatan yang melibatkan isu penting, menjadi tanggungjawab setiap anggota ahli mesyuarat menjaga kerahsiaan. Walaupun ianya mungkin kita membincangkan berkaitan isu-isu mendesak di kalangan masyarakat setempat tetapi tidak semua dokumen yang dibincangkan dan butiran-butiran yang dibincangkan itu perlu didedahkan kepada masyarakat umum. Cukup sekadar kita mengatakan bahawa kita telah menyelesaikan masalah berkaitan dan bentuk-bentuk penyelesaiannya. Isu-isu berbangkit yang sensitif dalam mesyuarat tidak perlu canang kepada masyarakat umum. Masyarakat perlulah percaya kepada pihak berkuasa yang menguruskan sebaik mungkin dalam isu tersebut. 

Samalah dengan isu NDA ini, ianya melibatkan perjanjian perjanjian perniagaan yang mungkin melibatkan harga dan seumpamanya. Pelanggan mereka bukan sahaja Negara Malaysia. Banyak lagi negara lain yang membeli vaksin mereka. Bahkan bukan kerajaan dari pelbagai negara yang membelinya tetapi organisasi-organisasi yang besar yang melibatkan kebajikan dunia juga membeli vaksin dari syarikat pengeluar tersebut. Contohnya UNICEF membeli berbilion-bilion dos vaksin untuk diberikan kepada negara-negara ketiga secara percuma. Ianya sudah tentu mempunyai nilai harga yang berbeza dengan penjualan kepada negara-negara yang berkerajaan ataupun syarikat-syarikat swasta (hospital ataupun klinik swasta). Ini adalah lumrah dan proses biasa kepada produk-produk perubatan. tidak perlulah ianya dipolitikan ataupun menjadi suatu polemik yang berpanjangan. 

Dalam hal ubat-ubatan ini, semua jenis ubat yang ingin dipasarkan dalam negara ini (Malaysia) perlu berdaftar dengan KKM. Dalam proses pendaftaran, semua dokumen berkaitan penghasilan dan bahan-bahan yang digunakan perlu dihantar kepada pihak NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Kebangsaan) bawah KKM untuk pendaftaran ubat atau vaksin berkenaan. Di sini tiada maklumat yang disorokkan, semuanya dimaklumkan di dalam segala laporan dan dokumen yang diserahkan kepada NPRA.

Pun begitu YB Khairy Jamaluddin pada 22 Disember yang lalu telah mengisytiharkan bahawa perolehan pembelian vaksin melibatkan RM2.05 bilion untuk diberikan kepada 26.5 juta rakyat Malaysia. Di sini secara kasarnya kita telah pun mengetahui berapa nilai sebenar pembelian vaksin tersebut.

Semua ubat inovator atau original atau produk asal akan ada kriteria ini. Memang kerajaan terikat dengan akta dan boleh disaman jika rahsia penghasilan produk ubat atau vaksin mereka tersebar kepada pihak lain yang boleh meniru resepi penghasilan ubat tersebut. Ini pun ada segelintir pihak yang fikir bukan-bukan. Ini tiada kena mengena dengan kononnya wujud konspirasi bagai.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 31/12/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -