Pemuda PAS Kuantan bantu golongan asnaf

- Advertisement -

KUANTAN: Pemuda PAS Kawasan Kuantan telah mengadakan program Ziarah Mahabah mengunjungi para penduduk dalam kalangan asnaf yang menetap di Kempadang dan Batu Tiga, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Program dilaksanakan bagi membantu keluarga kurang berkemampuan serta kalangan penduduk yang terkesan secara langsung akibat pandemik COVID-19 sedang melanda negara ini.

Fokus dan perhatian daripada kunjungan ini adalah menyantuni mereka yang perlu dibantu terutama kalangan fakir miskin, orang kelainan upaya, pesakit, warga emas, ibu tunggal dan anak-anak yatim

Dipimpin Ketua Pemuda PAS Kuantan, Ustaz Mohd Khairul Nizam Che Mustofai, ziarah ini turut disertai Ahli-ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Kuantan serta Pemuda PAS Cawangan Taman Berjaya Permai dan Batu Tiga.

“Kami cakna dengan kesusahan dan kepayahan hidup mereka yang sangat terkesan dengan pandemik yang melanda negara sekarang dan inisiatif begini perlu diteruskan lagi,” ujar Ustaz Khairul Nizam.

Menurut beliau juga, pihaknya bersama para Pemuda PAS Cawangan-cawangan komited untuk tidak melihat kesusahan ditanggung sendirian oleh golongan ini melainkan mereka dibantu.

Selain mengambil maklum dan mengemaskini perkembangan semasa keluarga yang dikunjungi, program rutin secara berkala ini turut menyerahkan sumbangan kepada mereka. – HARAKAHDAILY 30/12/2020

- Advertisement -