ADUN PAS santuni warga FELCRA Sungai Temau

- Advertisement -

LIPIS: Program Cakna Rakyat Bersama ADUN PAS Pahang yang menjelajah ke seluruh negeri ini untuk menjengah kehidupan penduduk telah singgah ke FELCRA Sungai Temau, di sini baru-baru ini.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar yang juga ADUN Tanjung Lumpur mengetuai program ini memimpin semua ADUN PAS Pahang menyantuni hal ehwal kehidupan warga negeri ini.

Beliau semasa menemui penduduk dan menyampaikan sumbangan kepada kalangan yang perlu dibantu telah diiringi Yang DiPertua PAS Kawasan Lipis, Roslan Zainal Al-Ahmadi serta Ahli Jawatankuasa PAS Lipis.

- Advertisement -

Malah, kehadiran Ustaz Rosli ke tanah rancangan penempatan pertanian ini juga diraikan dengan penyertaan ADUN Padang Tengku, Dato’ Mustafa Long, sekali gus mengukuhkan ikatan Muafakat Nasional di sini.

Dalam pada itu Roslan berkata, beliau berharap usaha bersama Muafakat Nasional terus dipereratkan dalam menjejaki permasalahan penduduk setempat yang perlu diberikan perhatian sewajarnya.

Program tersebut turut diceriakan dengan bantuan Ahli-ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Lipis menyerahkan sumbangan dari rumah ke rumah dan beramah mesra dengan warga FELCRA Sungai Temau.

Ketua Muslimat PAS Lipis, Khatijah Jamal berharap inisiatif seperti ini mendekatkan PAS dan Muafakat Nasional kepada penduduk terutama golongan perlu dibantu, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi era COVID-19.

Menurut beliau, keadaan COVID-19 ketika ini menyebabkan ramai penduduk terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu dalam usaha kerajaan mengekang penularan pandemik tersebut.

Hadir sama adalah Timbalan Ketua Muslimat PAS Lipis, Hasanah Ludin dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejahteraan Kampung FELCRA Sungai Temau, Siti Salwani Ramli. – HARAKAHDAILY 30/12/2020

- Advertisement -