Gesa penyelesaian bersepadu isu perkhidmatan feri

- Advertisement -

PERMATANG PAUH: Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang menggesa satu kajian komprehensif dan mendalam berhubung masalah perkhidmatan feri di negeri ini dilakukan ke arah penyelesaian sepenuhnya masalah dialami.

Naib Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Farhan Yusri berkata, isu ini juga menuntut perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar kepentingan awam seperti ini tidak dipolitikkan.

- Advertisement -

Perkara tersebut ditegaskan beliau dalam bual bicara ‘Sembang Malam Jumaat’ bersama moderator, Ruzbihan Bakhtiar yang bersiaran secara langsung menerusi Facebook Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, kelmarin.

Menurut beliau, difahamkan Kerajaan Pulau Pinang pernah menyatakan hasrat mengambil alih perkhidmatan feri tersebut, namun ditarik balik atas faktor kos yang tinggi iaitu RM13.7 juta setahun, sedangkan kutipan hanya 7 juta.

Tambah Farhan, perkhidmatan yang telah wujud sejak 126 tahun dahulu ini sentiasa menjadi perbincangan Sidang DUN Pulau Pinang di mana ia dilihat dikesampingkan dalam pelan-pelan pembangunan oleh Kerajaan Pulau Pinang.

“Antaranya keperluan membina terowong dasar laut dalam projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang antara petunjuk lain apabila bilangan penunggang motosikal menggunakan khidmat feri berkurang.

“Ini disebabkan tol jambatan bagi motosikal telah dihapuskan oleh kerajaan pada 2019. Jadi sudah tentu andai dibina terowong secara langsung akan mengurangkan lagi bilangan penumpang feri,” ujarnya mempertikaikan rancangan mega tersebut yang dilihat antara akan menggugat terus perkhidmatan feri.

Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Ir Dr Wee Ka Siong bagaimanapun menegaskan, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) telah merancang masa depan perkhidmatan feri Pulau Pinang.

“Fasa pemodenan perkhidmatan feri akan dimulakan dengan memperkenalkan tiga bas air (untuk penumpang) bermula dari 1 Januari 2021, dan diikuti dengan dua pengangkut kenderaan yang akan hanya membawa kenderaan bermotor dua roda (seperti motosikal dan basikal), yang akan beroperasi mulai tahun 2022. 

“Menteri Kewangan, Senator Dato’ Sri Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz dalam Dewan Rakyat pada 17 Disember 2020 turut mengatakan, sejumlah RM30 juta telah diperuntukkan bagi tujuan pemodenan perkhidmatan ini yang akan disalurkan melalui dua bayaran pada tahun 2021 dan 2022. 

“Dijangkakan lebih ramai pengguna kenderaan motor akan menggunakan Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah untuk perjalanan antara tanah besar di Seberang Perai dan pulau, yang lebih selamat, cepat dan lebih murah berbanding feri.

“Sebagai langkah sementara, PPSB akan menyediakan dua bot penumpang laju untuk mengangkut penumpang serta mendapatkan perkhidmatan feri milik Prasarana untuk mengangkut kenderaan dua roda dalam usaha membantu proses peralihan ke kapal baharu dalam tempoh ini.

“PPSB juga akan menawarkan perkhidmatan bot laju secara percuma kepada penumpang untuk 2 minggu mulai 1 Januari 2021,” umum beliau.

Tambah beliau, bagi mengekalkan sejarah ikonik Pulau Pinang ini, Kementerian Pengangkutan juga akan mempertimbangkan idea sebagaimana yang dicadangkan oleh beberapa pihak untuk menjadikan feri sedia ada sebagai restoran terapung.

Juga katanya, muzium, atau pelayaran pelancongan yang akan dapat memperingati sumbangan feri-feri Pulau Pinang kepada identiti kebudayaan dan warisan negeri ini. – HARAKAHDAILY 26/12/2020

- Advertisement -