Skeptikal gadis Kristian terhadap Islam diluruskan

- Advertisement -

25 DISEMBER 2020, cerita sikit pengalaman saya bersama kawan-kawan Kristian di Iraq. Panjang juga walaupun sikit. Bacalah kalau sudi. Penganut Kristian merupakan golongan minoriti di Iraq. Mereka berbangsa Ashur, berkulit putih kemerahan dan berambut perang. Pernah saya bertanya kawan-kawan Iraq, siapa itu bangsa Ashur? Kata mereka, Bangsa Ashur ini berasal dari keturunan Raja Namrud yang menetap di Negeri Babylon. Wallahua’lam…Satu kajian mendalam perlu dilakukan untuk huraian panjang berkenaan asal-usul keturunan ini.

Walaupun minoriti, tetapi hakikatnya mereka adalah kelompok yang memiliki tahap thaqafah (kebudayaan), taraf hidup sosio-ekonomi yang lebih baik.  Malah, mungkin kerana mereka minoriti menyebabkan perpaduan dan kesatuan antara mereka kelihatan padu.

- Advertisement -

Beberapa orang teman sekuliah saya adalah penganut Kristian termasuklah anak lelaki Tariq Aziz, Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Iraq ketika itu.  Seorang dari mereka, agak peramah serta mampu berbahasa Inggeris dengan baik sekali, seorang gadis Kristian yang sopan bernama Mayce Manuel.

Kebetulan ibunya adalah salah seorang pensyarah di fakulti kami bernama Dr Khulud, pensyarah berkelulusan dari sebuah Universiti di United Kingdom. Seorang pensyarah yang baik dan berfikiran terbuka serta mesra dengan para pelajarnya. Biasa kami berbual-bual mengenai banyak perkara termasuk dia sangat berminat untuk mengetahui perihal Malaysia.

“Pada pandangan kamu mana yang lebih baik antara Kristian dan Islam?” Suatu hari Mayce mengajukan soalannya kepada saya ketika kami bertemu di ‘Nadi Thalabah’ satu sudut kafeteria tempat pelajar-pelajar mengulangkaji pelajaran

Tentu saja jawapan saya.. “Saya seorang Muslim, semestinya saya meyakini agama saya yang terbaik. Sebab itu ia menjadi pegangan dan cara hidup saya..”

“Maaf, saya berpandangan sebaliknya, bagi saya Kristian lebih baik..” Jawab Mayce.

“Itu hak awak untuk berpandangan begitu kerana Kristian pegangan awak. Tapi tentunya awak mempunyai sebab untuk berkata begitu.”

“Ya… Cuba awak perhatikan di sekeliling kita, bagaimana kehidupan masyarakat Islam dan Kristian.”

“Apa maksud awak?” Soal saya ingin mendapat penjelasan selanjutnya

“Bagi saya umat Islam adalah pemalas dan mundur. Lihatlah peminta-peminta sedekah di jalanan atau di pintu-pintu masjid, siapakah mereka? Islam atau Kristian? Cuba awak lihat di hadapan gereja setiap hari Ahad, adakah orang Kristian yang meminta sedekah?” Jelasnya dengan nada seakan menghina.

Ooo… itu maksud awak. Kalau begitu sebenarnya awak silap kerana tidak dapat membezakan antara Islam dengan penganut Islam. Islamlah suatu agama yang sangat menggalakkan penganutnya berusaha keras mencari rezeki. Keluar bekerja mencari nafkah untuk keluarga dikira suatu ibadat yang diberikan pahala dalam agama kami. Islam sangat menentang kelembapan dan kemalasan. “

“Sebab itulah antara yang diajar oleh syariat Islam adalah hukum-hukum berkenaan pengurusan harta benda kerana bagi Islam harta benda adalah hak yang perlu dimiliki oleh manusia dan merupakan keperluan asas mereka. Sebarang pencerobohan terhadap harta benda orang lain juga diancam dengan hukuman keras dalam Islam. ”

“Silap pandangan awak hanya dengan melihat kemelaratan hidup masyarakat Islam di sini, maka terus awak menghukum Islam adalah agama kemelaratan dan kemunduran. Kesempitan dan kesukaran hidup yang mereka hadapi disebabkan banyak faktor yang awak sendiri tentu maklum, tetapi Islam tak boleh dipersalahkan. Universiti Baghdad tempat kita belajar sekarang sebagai contoh, asas pembinaannya telah diletakkan semenjak era Kerajaan Islam Uthmaniah lagi. Suatu bukti Islam adalah agama kemajuan, kebudayaan, keilmuan dan bertamadun.” 

Panjang lebar saya memberikan penjelasan.

“Tetapi saya melihat masyarakat Islam agak tertutup dan sukar bertoleransi. Mereka membawa imej ekstrem!” Jelas gadis Kristian ini lagi menggambarkan negatifnya pandangan beliau terhadap Islam.

“Bagaimana awak boleh menyatakan Islam adalah agama ekstrem dan sukar bertoleransi sedangkan awak sendiri dan masyarakat Kristian di sini adalah minoriti tetapi saya tengok awak bebas pakai rantai salib, bebas mengamalkan ajaran agama awak, bebas ke gereja, boleh membina rumah dan tempat tinggal, mendapat hak belajar di universiti, menjawat jawatan dalam kerajaan termasuk ibu awak sendiri adalah pensyarah di sini. Atau apa yang saya sebut ini tidak benar?” Saya menyangkal dakwaan beliau sambil mengajukan soalan. 

Melihat dia mendiamkan diri saya menyambung…

“Pernahkah awak mendengar berita, gadis-gadis Islam di Francis dihalang memakai tudung untuk ke pusat-pusat pengajian? Kenapa mereka dihalang sedangkan memakai tudung adalah suruhan agama kami yang sepatutnya dihormati oleh pemerintah Francis yang merupakan penganut Kristian. Bagaimana perasaan kamu kalau sekiranya Kerajaan Iraq melarang kamu memakai salib, tentu kamu akan marah?” 

“Ya… Kami akan marah kerana ini hak kami” Nampak nada suara gadis Kristian ini mula kendur.

“Adakah awak pernah mendengar berita di mana-mana negara umat Islam, masyarakat minoriti Kristian dianiaya oleh kelompok majoriti Muslim? Tak ada… kerana agama kami tidak mengajar begitu. Islam adalah agama kedamaian dan keamanan.”

“Tetapi cuba lihat apa yang telah berlaku kepada saudara Muslim kami di Bosnia yang hidup dikelilingi majoriti penganut Kristian di Eropah. Disembelih dan dibunuh! Siapa yang bunuh mereka? Pengganas Serb! Apa agama orang-orang Serb? Kristian Ortodoks!”

“Sebab apa bunuh orang Islam? Apakah agama Kristian mengajar penganutnya begitu?” Soalan saya bertubi-tubi.

“Ooo… tidak! Perbuatan orang Serb tak boleh dinisbahkan kepada Kristian. Kami juga cintakan kedamaian.”

“Di sinilah sebenarnya kunci kefahaman yang perlu awak perbetulkan. Saya tahu Kristian tak mengajar penganutnya bunuh dan sembelih orang. Awak juga perlu faham bahawa pandangan negatif awak terhadap masyarakat Islam di sini hasil dari pandangan secara luaran terhadap taraf hidup, sikap dan perlakuan mereka, tak boleh awak nisbahkan terus bahawa inilah dia Islam!”

“Apa yang ditampilkan oleh penganut Islam bukan bermakna itulah dia Islam.” Jelas saya menutup perbincangan dan saya merasakan bahawa saya telah mengajar gadis Kristian itu sesuatu yang penting mengenai syariat agama saya.

YB DR AZMAN IBRAHIM 
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 26/12/2020

- Advertisement -