Rangsang pemilikan hartanah komersial Bumiputera

- Advertisement -

HARI ini, saya mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Hartanah Bumiputera (YAHB) secara dalam talian, mesyuarat kali pertama sejak dilantik selaku Pengerusi YAHB pada 16 Oktober lepas. 

Mesyuarat diadakan bagi membincangkan mengenai prestasi keseluruhan Unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), mekanisme pengagihan kekayaan, dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), iaitu entiti operasi YAHB.

- Advertisement -

Turut serta dalam mesyuarat ini ialah  Menteri Kewangan  YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta pemegang amanah YAHB yang lain iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed dan Pengerusi PHB, Tan Sri Md Nor Yusof, Pengarah Urusan Kumpulan, Dato’ Mahmud Fauzi Muda dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Encik Mohd Fadzil Maruwan. 

Dalam mesyuarat itu, saya dimaklumkan mengenai prestasi tahunan YAHB di mana objektif utama penubuhannya adalah bagi memacu tindakan afirmatif  dalam agenda memperkasakan ekonomi dan merangsangkan pemilikan Bumiputera dalam hartanah komersial di Malaysia. 

Saya berpuas hati dengan prestasi AHB yang mencapai pulangan bersih selepas zakat sebanyak 5.0 peratus setahun pada tahun ini walaupun dalam keadaan pasaran yang mencabar. Semenjak dilancarkan pada akhir 2010, AHB telah mengagihkan dividen terkumpul sejumlah RM1.41 bilion kepada 75,000 pelabur runcit Bumiputera dan 14 institusi Bumiputera. 

Saya ingin berkongsi kegembiraan apabila dimaklumkan bahawa sejumlah RM31.4 juta telah diperuntukkan pada tahun 2020 bagi melaksanakan ‘Rents Relief Program’, bertujuan untuk membantu penyewa-penyewa di bangunan PHB sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehingga kini PHB memiliki 23 buah bangunan di lokasi yang strategik, terdiri daripada bangunan pejabat, pusat beli-belah, gudang logistik dan hospital swasta bagi pihak pelabur Bumiputera daripada semua lapisan masyarakat. 

Saya amat yakin pihak Lembaga Pengarah dan Pengurusan PHB akan terus fokus dalam mendukung amanah serta mandatnya untuk terus meningkatkan keupayaan dan kekayaan ekonomi Bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial di Malaysia, selain meneruskan kemudahan penyertaan Bumiputera dalam pelaburan hartanah menerusi pulangan yang stabil dan berdaya saing. Insya-Allah.

YAB TAN SRI DATO’ MUHYIDDIN MOHD YASSIN
Perdana Menteri Malaysia – HARAKAHDAILY 24/12/2020

- Advertisement -