PM terawal disuntik, Malaysia dapatkan 6.4 juta vaksin lagi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan menjadi antara individu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi meyakinkan rakyat bahawa vaksin yang diperoleh negara selamat dan berkesan.

Perdana Menteri berkata ini akan diikuti oleh petugas barisan hadapan sebelum diberikan kepada kumpulan sasaran iaitu kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas serta penghidap penyakit tidak berjangkit dan penyakit saluran pernafasan kronik.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin yang telah ditubuhkan dan dipengerusikan bersama oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin akan memastikan bekalan vaksin dapat diperoleh pada kadar segera. 

- Advertisement -

“Kerajaan menjangkakan bekalan pertama sejuta dos vaksin daripada Pfizer akan diterima dan mula diberikan kepada kumpulan sasaran seawal Februari 2021,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam video perkembangan terkini berhubung pemberian vaksin COVID-19 untuk rakyat Malaysia yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan akan terus memantau keberkesanan dan keselamatan vaksin itu dalam kalangan penerima.

“Sekali lagi saya ingin mengajak anda semua untuk bersama-sama menghayati dan membudayakan norma baharu dalam menjalani kehidupan seharian walaupun setelah kita menerima bekalan dan suntikan vaksin. 

“Kita perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu kerana virus ini telahpun berada dalam komuniti,” katanya.

Muhyiddin turut mengingatkan rakyat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan mengamalkan kebiasaan seperti kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal.

Beliau dalam pada itu mengumumkan kerajaan telah menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin COVID-19, iaitu tambahan 10 peratus lagi kepada bekalan vaksin yang bakal diterima negara.

Menurutnya, ini bermakna kerajaan kini memperoleh keseluruhan jaminan bekalan sebanyak 40 peratus, termasuk menerusi dua perjanjian yang dimeterai sebelum ini bersama fasiliti COVAX dan Pfizer. 

Menerusi perjanjian yang ditandatangani dengan fasiliti COVAX dan Pfizer, Malaysia dijadualkan menerima bekalan yang meliputi 30 peratus rakyat negara ini.

“Kerajaan juga dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan tambahan jaminan bekalan vaksin melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta,” katanya menerusi rakaman video berhubung perkembangan terkini isu itu yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Kerajaan sebelum ini menyasarkan untuk memastikan liputan vaksin kepada 70 peratus rakyat.

Perdana Menteri berkata melalui kesemua rundingan dan perjanjian yang telah dan akan dimeterai setakat ini, kerajaan akan membelanjakan keseluruhan US$504.4 juta (RM2.05 bilion).

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata perjanjian dengan Sinovac, CanSino serta Gamaleya juga akan memberi nilai tambah kepada sektor sains dan teknologi tempatan yang bakal memberi pulangan kepada rakyat serta pembangunan negara. 

“Ini termasuklah melakukan proses pembotolan vaksin dalam negara, penyelidikan dan pembangunan, serta perkongsian pengetahuan dan pemindahan teknologi,” katanya.

Menurut Muhyiddin kerajaan akan terus mengadakan rundingan dengan syarikat-syarikat farmaseutikal lain bagi memastikan negara mempunyai jaminan akses bekalan vaksin mencukupi.

“Vaksin yang diperoleh ini akan dipastikan selamat dan berkesan,” tegas beliau.

Perdana Menteri berkata kerajaan sedar usaha mencegah pandemik COVID-19 daripada terus menular adalah penting bagi memastikan keadaan ekonomi rakyat dan negara dapat dibaik pulih pada kadar segera. – BERNAMA

- Advertisement -