Calon SPM Beserah terima sumbangan data internet

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: ADUN Beserah, Andansura Rabu telah menyerahkan bantuan pembelian data internet untuk 1,502 pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti pembelajaran secara atas talian.

- Advertisement -

Majlis serahan telah diadakan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Arif di Mutiara Seafood Seberang Balok Kuantan, di sini baru-baru ini.

Semua mereka daripada sepuluh sekolah dalam DUN Beserah menerima agihan daripada perbelanjaan berjumlah RM75,100 yang diperuntukkan Kerajaan Negeri Pahang atas keprihatinan membantu para pelajar terbabit.

Sekolah-sekolah berkenaan adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beserah, SMK Semambu, SMK Pelabuhan, SMK Pelindung, SMK Air Putih, SMK Alor Akar, SMK Sungai Baging, SM Teknik Kuantan, Kolej Vokasional Kuantan dan Maahad Tahfiz Darul Ulum.

“Selain sebagai satu motivasi dan semangat kepada pelajar-pelajar kita. Sumbangan sebanyak RM50 seorang ini dapat memberi  keringanan kepada pelajar-pelajar SPM yang sekarang ini sedang melalui proses pembelajaran dari rumah secara atas talian.

“Mereka mendapatkan pakej atau bayaran untuk mendapatkan data internet. Kita juga mengharapkan supaya liputan capaian internet di kawasan DUN Beserah dapat dipertingkatkan lagi dari 3G kepada 4G.

“Malahan ada kawasan yang perlu mendapatkan 5G terutama di kawasan perindustrian yang perlu diberi keutamaan kerana perlu menarik lebih ramai pelabur yang datang ke sini,” katanya dalam Majlis Penyerahan Insentif Kepada Pelajar-Pelajar Yang Menduduki Peperiksaan SPM 2020 Negeri Pahang Peringkat Dewan Negeri Pahang

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah mengumumkan pemberian sumbangan data internet ini kepada semua pelajar SPM negeri Pahang pada persidangan DUN di Wisma Sri Pahang 20 November lalu. – HARAKAHDAILY 22/12/2020

- Advertisement -