Geram pada PAS? Marilah mengaji dengan PAS

PAS mahu selamatkan akidah, tetapi ada pihak mahu lihat Illi murtad untuk dijadikan isu politik

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH masih hangat perdebatan berkenaan isu perkahwinan Illi Najwa Saddique, membuktikan bahawa semangat mempertahankan Islam dalam rakyat Malaysia masih tebal dan utuh. Kebencian umat kepada isu keluar agama ini sememangnya menjadi satu hal yang amat membanggakan Islam sekarang ini. Masing-masing takut ia terjadi kepada keluarga masing-masing. Ia satu perkembangan yang bagus.

Ada yang menyakini bahawa Illi bersama suaminya jahil mengenai agama. Menurut laporan daripada kes-kes saudara baharu, memang banyak isu berkenaan tidak tahu membezakan antara budaya dan juga agama. Jelas mereka tidak mengetahui akan kesan daripada perbuatan yang menyamai perbuatan ibadat agama lain, boleh menyebabkan mereka terkeluar dari agama. Apa pun, jika tidak tahu, ia jelas dosa besar.

- Advertisement -

Jika dilihat kepada yang mengkritik dan berkeyakinan bahawa Illi sudah pun murtad, kebanyakkan komen-komen mereka lebih berdasarkan kepada sangkaan dan menghukum. Mereka anggap taraf kejahilan orang lain, sama dengan kejahilan mereka. Tetapi ilmu orang lain pula, tidak melebihi ilmu mereka. Semua orang tidak betul, dia sahaja yang betul. Tetapi bila orang buat salah, dia pura-pura terkejut, takkan itu pun tak tahu, katanya, konon mahu merendahkan lawan. 

Lebih teruk lagi, mereka mengambil ‘fatwa-fatwa’ daripada individu-individu yang selalu melawak dalam status ‘Facebook’ dan ‘Twitter’ mereka. Figura-figura ini biasa akan membuat seseorang itu menjadi bahan ketawa jika ada sesuatu isu besar. Tidak kira dari pembangkang ataupun kerajaan, ilmuan ataupun apa-apa kedudukan, asal bernilai untuk ditertawakan, semuanya dia akan ejek. Tanda suka, kongsi status mereka, komen menyokong oleh pembaca, adalah menjadi suatu yang dikejar oleh figura ini. Yang utama, puas hati mereka. Tak berilmu pun, tapi jadi tempat rujuk oleh musuh PAS.

Manakala sebahagian lagi menjadikan orang bukan-Islam sebagai rujukan kepada status agama orang Islam. Memang boleh merujuk mereka memberikan pencerahan berkenaan ritual agama yang dijalankan. Tetapi jika dia hanyalah orang biasa, kena juga berhati-hati. Contohnya orang kita. Berapa ramai di antara kita yang tidak tahu apa-apa berkenaan agama kita sendiri tapi memandai-mandai? Jadi adakah dia layak untuk menerangkan berkenaan agamanya? Maka perlulah juga kepada orang yang benar-benar berilmu dalam agama mereka yang menjelaskan.

Apa yang bukan-Islam tidak tahu ialah, niat memainkan peranan utama dalam sesuatu ibadat dalam Islam. Setiap amal itu, bermula dengan niat. Jelas perkataan itu daripada Rasulullah. Bukan asal buat terus jadi ibadat. Lantas, tindakan Kerajaan Malaysia dan Sultan Johor mahu memanggil Illi bagi mendapatkan penjelasan itu amatlah baik. Selain daripada mengesahkan niat, mereka juga akan diberikan bimbingan yang sebenarnya berkenaan Islam.

Masih ada yang mencemuh kepada PAS dengan membandingkan kes-kes murtad dahulu, bahawa PAS amat vokal menyatakan tentangan kepada kerajaan. Ini sebenarnya adalah pengiktirafan kepada PAS sebagai wira agama. Tetapi selain itu, mereka yang menuduh, sememangnya amat jahil atau dipermainkan oleh pihak-pihak tertentu. Kes-kes lama yang telah berlaku yang PAS menentang dahulu adalah berbeza dengan kes sekarang ini.

Kes-kes seperti Natrah, Lina Joy, Aisyah adalah kes yang dibicarakan di mahkamah atau kes yang diakui sendiri oleh mereka yang terlibat bahawa mereka telah murtad atas kerelaan hati mereka sendiri. Dalam Islam, salah satu pembuktian kepada kesalahan ialah pengakuan tertuduh sendiri tanpa dia dipengaruhi apa-apa keadaan yang tidak normal. Lina Joy membawa kes ke mahkamah bagi menuntut diperakui kemurtadannya. Aishah mengakui murtad kepada ayahnya. Natrah pula dipaksa, kemudiannya dia rela.

Sedangkan isu Illi hanya melalui mahkamah media sosial. PAS melakukan sesuai dengan ajaran Islam. Pernah berlaku dalam sejarah di mana Khalid Al-Walid membunuh seorang musuh Islam yang telah mengucap syahadah di hadapannya. Khalid mengatakan itu hanyalah helah musuh kerana takut dibunuh. Merah padam muka Rasulullah dan Baginda berlepas diri dari perbuatan Khalid kerana tiada bukti yang musuh itu mempermain-mainkan Islam. Syahadahnya itu, menurut Rasulullah, diterima.

Sama dalam isu hudud. Jika misalnya dikatakan video bukanlah bukti dalam Islam bagi hakim menjatuhkan hukuman hudud, maka bertempiklah mereka menghina Islam. Konon akan teraniayalah mangsa. Bagi mereka, hudud satu-satunya hukuman dalam Islam. Jika tidak dikenakan hudud, maka terlepaslah yang tertuduh. Sedangkan ada lagi hukum takzir. Hakim boleh menukarnya kepada hukuman takzir dengan mengenakan hukuman yang bawah sedikit daripada hudud, menggunakan bukti-bukti yang ada, bukan semestinya melepaskannya terus.

Mereka yang membenci PAS ini, tidak faham dalam Islam adalah lebih baik yang bersalah dibebaskan daripada yang tidak bersalah tersalah dihukum. Dalam Islam, ada dua mahkamah, dunia dan akhirat. Tidak sesekali akan terlepas. Konsep ini tiada dalam mana-mana fikiran yang menentang Islam. Bagi mereka, yang dirasakan bersalah, mesti dihukum atas dunia bagi memenuhi tuntutan dendam mereka. Pengakuan Illi dikira sah kerana datang dari dia sendiri. Apa yang selebihnya, kita serahkan kepada Allah.

Buktinya lain, setakat ini, tiada lagi ulamak yang menuduh PAS salah dalam bertindak. Sama ada dari parti lawan mahu pun yang tidak berparti. Semua ilmuan yang mengeluarkan kenyataan, senada dengan apa yang PAS lakukan melalui Timbalan Menteri Agama. Dan yang melucukan, ada agamawan yang senada dengan PAS pula yang pembenci PAS tuduh sebagai sudah berubah pegangan. Contohnya Dr. Asri kata mereka.

Mungkinkah ada antara mereka yang mahu Illi murtad kerana, mereka akan mempunyai peluru bagi menembak PAS? Kecewa agaknya mereka dengan penjelasan agamawan bahawa Illi tidak murtad, ia bukan seremeh yang disangka. Sebab itu mereka mengambil fatwa figura-figura jahil di media sosial kerana fatwa pelawak-pelawak itu menepati kehendak mereka. Jika mereka meminta hukum dari ulamak, mereka akan kecewa, sebab ulamak tidak berhukum bagi memenuhi selera orang, apatah lagi bagi si jahil.

Atau adakah kesungguhan mereka mahu menempelkan isu kafir mengkafir ini adalah kerana mereka merasakan yang PRU sudah tidak lama lagi? Lalu mereka mulakan dahulu tembakan, kerana isu kafir ini adalah sentiasa relevan bagi musuh untuk melawan kempen PAS. Mereka tidak tahu yang rakyat semakin faham dengan isu ini. Jika benar itu tujuan mereka, maka jelaslah bagi PAS apa sebenarnya di belakang isu Illi ini. PAS mahu menyelamatkan akidah Illi, mereka pula mahu menjadikan Illi peluru bagi mereka.

Semua keterangan yang saya tulis ini adalah hasil daripada kelas pengajian yang ulamak PAS kelolakan sama ada berhadapan ataupun ‘online’. Ada juga daripada buku, tulisan ulamak-ulamak PAS. Intinya semua bersumberkan dari kitab yang muktabar. Marilah datang kelas agama anjuran PAS-lah untuk faham Islam, insya-Allah selamat, jangan geram pula dengan PAS sebab fitnah tak menjadi. Jangan malu-malu, dah nampak kronik sangat jahil itu.

MOHD NASIR ABDULLAH
22 Disember 2020 – HARAKAHDAILY 22/12/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -