MBPP diminta kaji kaedah alternatif kurangkan gagak

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diminta mengkaji semula kaedah alternatif yang lebih selamat untuk mengurangkan kadar burung gagak di bandaraya ini berbanding cara meracun digunakan kini.

Setiausaha PAS Negeri Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim berkata, usaha MBPP itu bukan sahaja memerlukan kaedah yang betul tetapi juga selamat supaya tidak memudaratkan haiwan lain, lebih-lebih lagi atas orang awam.

- Advertisement -

Beliau yang juga bekas Ahli Majlis MBPP mengakui terdapat kaedah lain antaranya menembak atau perangkap bagi tujuan sama, tetapi MBPP telah memilih untuk menabur racun di tepi jalan.

Sedangkan menurutnya, kawasan tersebut merupakan tempat yang juga menjadi tumpuan awam di mana kehadiran gagak antaranya turut disebabkan oleh sisa-sisa makanan ditinggalkan pengunjung.

“Tapi masalahnya bila menggunakan racun dengan menabur di tepi jalan ini sesuatu yang bahaya di mana ia bukan sahaja akan dimakan oleh gagak, tetapi juga mungkin dimakan binatang lain yang tak sepatutnya seperti kucing atau anjing.

“Malah, tidak mustahil dikutip budak-budak mahupun orang yang lalu lalang di situ. Kemungkinan manusia terdedah kepada racun itu boleh berlaku. MBPP perlu melihat risiko-risiko,” ujar beliau.

Kata Iszuree, kaedah yang digunakan sebelum ini seperti sangkar lebih rasional dengan memasukkan umpan di dalamnya, selain kaedah menembak turut pernah digunakan bersama saguhati RM5 bagi setiap ekor gagak.

Tambah beliau lagi, kaedah meracun juga adalah lebih menyiksa haiwan berkenaan berbanding kaedah menembak dan sangkar yang diharapnya perkara tersebut dinilai semula pelaksanaan oleh MBPP.

Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS Pulau Pinang, Steven Kon Tien Yew turut menyuarakan kecaman beliau terhadap kaedah meracun bagi tujuan mengurangkan jumlah gagak itu.

“Yang kami bantah adalah penggunaan racun di tempat awam yang membahayakan haiwan lain dan berkemungkinan mendatangkan risiko kepada pengunjung terutamanya kepada kanak-kanak.

“Menggunakan racun bukan solusi yang bijak kerana ia menyiksa dan kejam ke atas haiwan terbabit sebelum ia mati. Diharap pihak berkenaan mengambil tindakan yang lebih selamat,” ujar beliau.

Steven bersama beberapa aktivis sosial dan anggota NGO telah bersama turun menyatakan protes terhadap isu berkenaan dalam protes aman diadakan di Persiaran Karpal Singh, di sini baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 20/12/2020

- Advertisement -