Peningkatan kes Covid-19 di Melaka tertumpu di penjara

- Advertisement -

AYER KEROH: Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Utama Sulaiman Md Ali menjelaskan bahawa peningkatan kes Covid-19 yang berlaku di Melaka pada masa ini sebenarnya tertumpu di penjara Pusat Koreksional Jasin (PKJ).

Tambah beliau, tiada jangkitan berpunca daripada lokasi itu di komuniti dan keadaan adalah terkawal memandangkan semua kes tertumpu di penjara.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media Pejabat Ketua Menteri Melaka yang dimuatnaik di laman Facebook rasmi beliau, hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya, Negeri Melaka telah mencatatkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang mendadak sejak 12 hingga 17 Disember lepas di mana jumlah kumulatif individu yang disahkan positif adalah 551 kes.

“Peningkatan kes ini disumbangkan oleh aktiviti saringan bersasar dalam kalangan banduan baharu dan Orang Kena Tahan (OKT) yang ditempatkan di Pusat Koreksional Jasin (PKJ),

“Walaupun terdapat peningkatan kes di PKJ, penularan ini adalah terkawal, kerana berlaku dalam kalangan banduan sahaja dan tidak merebak ke komuniti,” ujar beliau.

Menurut Ketua Menteri Melaka itu, pada masa ini, PKJ ini telah dijadikan sebagai pusat transit bagi kemasukan baharu banduan khususnya banduan lelaki di Negeri Melaka selain Pusat Transit Tahanan A Famosa.

Sehingga 16 Disember 2020, seramai 1,732 banduan baharu telah dimasukkan ke penjara di Melaka, di mana sebanyak 1,589 sampel telah diambil oleh Pejabat Kesihatan Daerah, kata beliau lagi dalam kenyataan itu.

“Bagi PKJ, kemasukan baharu banduan dan OKT bermula pada 22 November 2020 dan sehingga 16 Disember 2020, jumlah keseluruhan kemasukan adalah seramai 880 orang dan semua mereka telah menjalani saringan Covid-19 yang dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Jasin.

“Sehingga 16 Disember 2020 juga, sebanyak 35 kes positif Covid-19 telah dikesan dan dimasukkan ke Hospital Melaka dan semua mereka dalam keadaan stabil.

“Pada 17 Disember 2020, terdapat pertambahan 98 kes positif Covid-19 dalam kalangan banduan dan OKT baharu yang ditempatkan di PK, menjadikan jumlah kes positif yang dikesan daripada institusi ini adalah seramai 133 orang iaitu 110 orang adalah warganegara, manakala 23 orang lagi bukan warganegara.

“Daripada 133 kes ini, 57 pesakit telah dimasukkan ke Hospital Melaka, manakala 76 pesakit sedang diuruskan untuk dimasukkan ke Pusat Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) di PKJ dan Penjara Sungai Udang,” kata Ketua Menteri Melaka itu lagi.

Tambah beliau lagi, daripada siasatan JKN Melaka, 107 atau 80 peratus daripada jumlah kes adalah jangkitan tempatan, manakala 26 lagi adalah kes jangkitan import B iaitu dari luar Melaka.

Menurut beliau lagi, siasatan mendapati punca berlaku penularan tempatan jangkitan Covid-19 di PRJ disebabkan kemasukan banduan dan OKT baharu dari Penjara Kajang dan Penjara Sungai Buloh yang sedang mempunyai Kluster Covid-19 iaitu Kluster Jalan Harapan dan perebakan jangkitan juga disebabkan kepadatan yang melebihi kapasiti di PKJ.

“Sehubungan itu, beberapa langkah pencegahan dan kawalan telah dilakukan untuk memastikan risiko penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan lain dan kakitangan di PKJ dan lain-lain penjara di Melaka dapat dibendung dan tiada jangkitan baharu.

“Antara langkah yang diambil adalah penangguhan kemasukan banduan baharu ke semua penjara transit di Negeri Melaka bermula serta-merta.

“Kedua, Pusat Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) bagi Covid-19 telah diaktifkan di Penjara Sungai Udang dan di PKJ bagi tujuan perawatan dalam kalangan kes yang berisiko rendah.

“Ketiga, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dicadangkan untuk dilaksanakan kerana terdapat peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 dalam masa yang singkat dan berterusan dalam kalangan banduan di PKJ bertujuan untuk menjalankan saringan kontak rapat menyeluruh, kuarantin kontak secara berpusat dan untuk tindakan kawalan dan pencegahan bagi mengelak penularan jangkitan kepada kakitangan penjara dan komuniti,” ujar beliau.

Ketua Menteri Melaka itu juga menyeru kepada semua rakyat Melaka untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh MKN dan KKM.

“Orang ramai dinasihatkan agar merujuk kepada kenyataan rasmi oleh KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka.

“Segala maklumat perlu dipastikan kesahihannya dan hanya kenyataan KKM dan JKN Melaka perlu dijadikan rujukan rasmi.

“Untuk mendapatkan maklumat sahih dan sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Crisis Preparedness and Response Center (CPRC) Melaka di talian 06-2356999/6851 atau melalui e-mel : [email protected],” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 18/12/2020

- Advertisement -