Politik labah-labah

- Advertisement -

AL-QURAN kaya dengan metafora-metafora yang merangsang akal manusia agar berfikir berkenaan tabiat kehidupan secara mendalam. Allah telah memperuntukkan sebuah surah khusus diberi nama al-Ankabut, yang bermaksud labah-labah. Cerita perihal labah-labah dan sarangnya amat mustahak untuk diamati, berdasarkan firmanNya:

- Advertisement -

مَثَلُ الَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِ اللَّهِ أَوْلِيَاءَ كَمَثَلِ الْعَنكَبُوتِ اتَّخَذَتْ بَيْتًا ۖ وَإِنَّ أَوْهَنَ الْبُيُوتِ لَبَيْتُ الْعَنكَبُوتِ ۖ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ 

“Perumpamaan orang yang meminta perlindungan selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat sarang. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah adalah rumah labah-labah, sekiranya mereka mengetahui.”

(al-Ankabut: 41)

Bertemakan politik

Ayat yang telah dinyatakan di atas, selain mengandungi peringatan berkenaan aqidah, ia juga menyentuh tabiat politik manusia yang mengharapkan pergantungan selain dari Allah. Kita perlu melihat dari perspektif kesinambungan ayat sebagai pembayang kepada mesej secara lengkap.

Tiga ayat sebelum ayat 41 surah al-Ankabut, Allah mengungkit berkaitan kesombongan kaum Ad dan Thamud yang berbangga dengan kemajuan masing-masing. Kemudian Allah mengingatkan kesudahan celaka yang telah ditimpakan ke atas Qarun, Firaun dan Haman. Mereka adalah watak-watak yang akrab, dengan pengajaran politik kejam penuh licik dan bersifat kebendaan.

Syeikh Sa’id Hawwa telah menukilkan dari huraian Said Qutb, bahawa ayat 41 surah al-Ankabut adalah sebagai gambaran menarik dan tepat berkenaan tabiat kekuasaan dan kekuatan yang menyebabkan manusia sering lupa. Dengan memiliki kekuasaan, manusia rasa berhak untuk berbuat apa sahaja.

Kebergantungan-kebergantungan yang bersifat politik materialistik seperti itu menyebabkan manusia lupa akan pergantungan sebenar mereka kepada Allah. Maka Allah menyifatkan hakikat keadaan mereka adalah lemah, ibarat rapuhnya sarang labah-labah.

Sarang politik yang rapuh

Imam Fakhruddin al-Razi di dalam tafsirnya telah membahaskan, apakah hikmah Allah mengemukakan metafora sarang labah-labah di dalam ayat 41 surah al-Ankabut? Maka beliau menjelaskan bahawa sebenarnya sarang labah-labah tidak cukup syarat untuk dianggap sebagai rumah yang selamat.

Realitinya ia tidak memiliki dinding, tiada atap untuk berlindung dan tiada pintu yang selamat. Bahkan tiada bayang yang layak untuk dibuat teduh. Ia bukan bersifat pelindung, tetapi ia bersifat perangkap.

Sarang labah-labah juga tidak menyebabkan penghuninya merasa stabil dan tenteram. Sebaliknya ia menimbulkan rasa serba terancam. Bahkan jika ia dipukul dengan angin, sarang labah-labah itu akan terbang lenyap, hilang tidak meninggalkan kesan. Sifatnya terlalu sementara dan rapuh.

Tabiat politik labah-labah

Labah-labah merupakan haiwan pemangsa yang hidup secara individualistik. Ia hanya boleh hidup berpasangan ketika musim mengawan sahaja. Sarang yang dibina sekadar bertujuan untuk memerangkap binatang lain. Tidak lebih dari itu. 

Sifat keakuan labah-labah dibuktikan lagi dengan tabiat bagaimana ia sanggup memakan pasangannya sendiri selepas puas mengawan. Mula-mula akrab. Kemudian setelah memperolehi kehendak yang diingini, maka ia akan membunuh pasangannya.

Bahkan jika labah-labah berdepan dengan kesukaran mencari sumber makanan, ia sanggup sahaja untuk saling berbunuhan untuk meneruskan hidup. Ya, labah-labah boleh memakan sesama sendiri.

Kaedah labah-labah memakan mangsanya yang telah terperangkap pun agak aneh. Ia akan menghisap habis-habisan isi dari tubuh mangsanya. Dari luar, kelihatan mangsanya tidak berubah bentuk. Namun mana-mana yang telah menjadi korban, dalam badannya sudah kering dan kosong tidak mengandungi apa-apa nilai.

Politik sadistik

Allah mengemukakan ayat-ayat perbandingan seputar alam sekeliling kita, sebagai sebuah pengajaran dan pedoman. Jika kita memerhatikan tabiat labah-labah, sudah pasti kita akan menyedari bahawa sifat kejam, pentingkan diri dan gemar memperdaya, tidak akan menatijahkan kekuatan yang hakiki.

Sebaliknya tabiat sedemikian akan menjerumuskan manusia ke kancah politik haiwan yang tiada pertimbangan moral. Obsesi terhadap kekuasaan dan kebendaan memang amat mengasyikkan bagi pencandu-pencandu dunia. 

Keasyikan tersebut menyebabkan mereka lupa akan kebergantungan sebenar hanya kepada Allah, bukan kepada pengaruh manusia pragmatik yang boleh dijual beli prinsipnya. Kerapuhan seperti itulah yang Allah ibaratkan seperti sarang labah-labah.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
15 Disember 2020 – HARAKAHDAILY 15/12/2020

- Advertisement -