Jaga muafakat yang terbina – Bakri

- Advertisement -

TANGGA BATU: Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tangga Batu, Bakri Jamaluddin, menyeru kepada semua ahli PAS dan Umno khususnya di dalam Parlimen Tangga Batu supaya menjaga muafakat yang telah terbina antara kedua-dua parti ini.

Bakri yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Melaka itu berkata bahawa sejarah baharu tercipta di Parlimen Tangga Batu ini dengan berlangsungnya Majlis Pelancaran Muafakat Nasional Parlimen Tangga Batu di Dataran Baitul Tariq, Klebang di sini baru-baru ini.

- Advertisement -

Beliau mengambil contoh peristiwa hijrah Nabi Muhammad S.A.W ke Madinah di mana Baginda telah menyatukan kaum Aus dan Khazraj yang telah sekian lama bermusuhan.

“Oleh itu, kita harus menyematkan kisah ini dalam diri kita bagaimana dua kaum yang telah sekian lama bermusuhan namun akhirnya dapat disatukan dan yang lebih utama ianya disatukan atas dasar Islam,” ujar beliau dalam ucapannya.

Simbolik pelancaran Muafakat Nasional Parlimen Tangga Batu telah disempurnakan dengan pertukaran bendera PAS dan Umno oleh kedua-dua pimpinan parti iaitu antara YDP PAS Kawasan Tangga Batu, Bakri Jamaluddin dan Ketua Umno Bahagian Tangga Batu, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Sebelum itu, majlis bermula dengan solat Isyak berjemaah dan disusuli dengan selawat dan tazkirah oleh PU Faiz dan diakhiri dengan jamuan dan ramah mesra oleh ahli-ahli kedua-dua parti.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Rafie Ahmad, Timbalan Ketua Umno Bahagian, Datuk Wira Abu Bakar Mohamad Diah serta barisan jawatankuasa daripada kedua-dua parti. – HARAKAHDAILY 15/12/2020

- Advertisement -