Pembangkang derhaka tolak Belanjawan 2021

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad menyifatkan blok pembangkang yang menolak Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 adalah satu tindakan derhaka terhadap titah Tuanku Yang Di-Pertuan Agong.

- Advertisement -

“Masih terdapat sebahagian Ahli Parlimen terutama sekali blok pembangkang yang tidak menghormati titah Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya mempermudahkan urusan bajet ini.

“Terutama sekali dalam keadaan negara yang sedang menghadapi wabak Covid-19 ini,” ujarnya ketika dihubungi Harakah, hari ini.

Katanya, dengan RUU yang telah diluluskan di Dewan Rakyat hari ini, ia membuktikan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) memiliki majoriti yang sah untuk memerintah negara.

“Tahniah kepada kerajaan PN kerana telah berjaya meluluskan bajet ini.

“Insya-Allah, semoga bajet ini dapat dilaksanakan dengan baik untuk terus memacu negara keluar daripada kemelut kesan daripada wabak Covid-19 ini,” katanya.

Belanjawan 2021 selepas bacaan kali ketiga, dilulus melalui undian belah bahagi dengan 111 undian menyokong, 108 tidak menyokong, manakala satu undian berkecuali kerana tidak hadir. – HARAKAHDAILY 15/12/2020

- Advertisement -